HANOI, 5 OGOS – Wilayah utara Vietnam kini dilanda gelombang panas terik, dengan 17 lokasi di tujuh wilayah melaporkan suhu tertinggi baharu bulan Ogos, menurut pihak berkuasa hari ini. Permintaan tenaga elektrik turut melonjak apabila penduduk berusaha menyejukkan diri.
Suhu mencatatkan kemuncak pada Ahad dan kelmarin di wilayah Delta Sungai Merah yang padat dengan penduduk serta merupakan kawasan penting dalam sektor perindustrian dan pertanian negara itu. Ibu negara Hanoi turut mengalami hari Ogos pertama dengan suhu melebihi 40 darjah Celsius.
Meskipun Vietnam sering mengalami cuaca panas setiap tahun, para saintis berkata perubahan iklim akibat aktiviti manusia menyebabkan corak cuaca menjadi lebih ekstrem, termasuk peningkatan suhu.
Kawasan yang lazimnya sibuk di Hanoi kelihatan lebih tenang hari ini apabila penduduk memilih untuk berlindung daripada panas terik.
Penjual bunga Ngo Thu Thuy memberitahu AFP bahawa beliau keletihan mengayuh basikal bunganya dalam cuaca panas itu.

“Saya kurang mendapat pendapatan kerana tiada siapa mahu membeli bunga dalam cuaca sebegini. Namun saya tetap perlu berusaha untuk menyara hidup,” kata Thuy, 38, yang menutup seluruh tubuhnya bagi melindungi diri daripada panas matahari.
Seorang pekerja binaan yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai Nam berkata, ‘terlalu banyak bangunan dan kenderaan’ menjadikan Hanoi seperti ‘kuali panas’ dalam tempoh dua hari lalu.
Rekod suhu dalam gelombang haba terdahulu pada 2021 dan 2024 telah diatasi di 17 stesen cuaca di wilayah utara, walaupun ramalan hujan pada petang tadi dijangka membawa sedikit kelegaan.
Satu stesen cuaca di pusat bandar Hanoi mencatatkan suhu tertinggi 40.3 darjah Celsius, mengatasi rekod Ogos sebelumnya iaitu 39.8 darjah yang dicatat pada 2021.
Di luar Hanoi, stesen-stesen cuaca di wilayah Phu Tho, Tuyen Quang, Lang Son, Bac Ninh, Haiphong dan Ninh Binh turut melaporkan suhu tertinggi baharu bagi bulan Ogos.
“Kelembapan udara di Hanoi dan kawasan delta kelmarin hanya mencecah 52 peratus, menyebabkan rasa panas dan kering yang sangat ketara,” kata ketua peramal cuaca Vietnam, Nguyen Van Huong, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertanian dan Alam Sekitar negara itu. – AFP

