TEHRAN, 23 JULAI – Gelombang haba teruk yang melanda Iran telah menjejaskan bekalan air dan elektrik di kebanyakan negara itu, dengan paras takungan jatuh ke tahap terendah dalam tempoh 100 tahun, kata media kerajaan kelmarin.
Suhu ekstrem, yang bermula Jumaat lalu, dijangka reda secara beransur-ansur esok, menurut pihak berkuasa meteorologi yang dipetik oleh televisyen kerajaan.
Pejabat kerajaan di 15 daripada 31 wilayah Iran, termasuk ibu negara Tehran, telah diarah tutup hari ini dalam usaha untuk menjimatkan air dan elektrik.
Langkah itu diambil ketika suhu di kawasan selatan dan barat daya Iran mencecah 50 darjah Celsius.
Jurucakap kerajaan, Fatemeh Mohajerani berkata pihak berkuasa akan melanjutkan penutupan pejabat jika difikirkan perlu, sambil memberi amaran tentang keadaan kritikal di Tehran berhubung bekalan air.
Kira-kira 10 ibu kota wilayah merekodkan suhu melebihi 40 darjah Celsius Isnin lepas, termasuk Tehran, menurut agensi meteorologi itu. – AFP
