LOS ANGELES, 28 JUN – Gelombang haba pertama musim panas dijangka melanda California Selatan akhir minggu ini, menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) Amerika Syarikat (AS).
Dengan pembinaan sistem tekanan tinggi di California Selatan, suhu diramal akan bertambah panas esok hingga hujung minggu, yang memuncak kepada gelombang haba sepanjang cuti 4 Julai, lapor Xinhua.
“Gelombang haba pertama musim panas dijangka menjelang cuti hujung minggu tertumpu di kawasan pedalaman. Suhu tiga digit berkemungkinan merentasi kawasan pedalaman paling panas,” ciap NWS.
Pegawai kesihatan menggesa penduduk untuk mengelak tekanan haba dengan mencari lokasi teduh atau mempunyai pendingin hawa, minum lebih banyak air serta mengelak daripada terdedah selaran matahari. – Bernama
