London, 17 APRIL – Jumlah hari setiap tahun yang mengalami suhu permukaan laut ekstrem di lautan dunia telah meningkat tiga kali ganda dalam tempoh 80 tahun akibat pemanasan global, menurut satu kajian baharu, menurut laporan Xinhua.
Penyelidik mendapati secara purata, permukaan laut global mengalami kira-kira 15 hari suhu ekstrem setiap tahun pada tahun 1940an. Hari ini, angka itu telah meningkat hampir 50 hari setiap tahun, menurut kajian yang diterbitkan minggu ini dalam jurnal Proceedings of the National Academy of Sciences.

Pemanasan global menjadi punca terhadap hampir separuh daripada kejadian gelombang haba marin dalam tempoh suhu permukaan laut meningkat jauh melebihi paras normal untuk tempoh yang panjang.
Kajian itu, yang dihasilkan oleh pasukan saintis dari Mediterranean Institute for Advanced Studies, Universiti Reading, International Space Science Institute dan Universiti Kepulauan Balearic, juga telah mendapati suhu global yang semakin meningkat menyebabkan kejadian suhu ekstrem laut berlangsung lebih lama dan menjadi lebih sengit.
“Gelombang haba marin boleh memusnahkan ekosistem bawah air. Tempoh air yang lebih panas daripada biasa boleh membunuh terumbu karang, merosakkan hutan kelp, dan mencederakan padang lamun,” kata Xiangbo Feng, salah seorang pengarang kajian di National Centre for Atmospheric Science di Universiti Reading.
Kesan gelombang haba marin meluas melebihi laut. Penyelidik memberi amaran bahawa peningkatan gelombang haba marin boleh menyebabkan atmosfera kita menjadi kurang stabil, yang membawa kepada lebih banyak ribut tropika yang kuat dan kerap di beberapa kawasan. – Xinhua