Ahad, 23 November 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gelombang haba panas ekstrem landa selatan Eropah

    ROM, 30 JUN – Gelombang haba yang panas di seluruh selatan Eropah telah menyebabkan suhu melebihi 40 darjah Celsius termasuk Itali, Sepanyol dan Greece, serta amaran baharu terhadap risiko kebakaran hutan turut dikeluarkan.

    Pakar mengaitkan peningkatan kekerapan dan keamatan gelombang haba ini dengan perubahan iklim, memberi amaran bahawa kejadian cuaca ekstrem seperti itu sudah menjadi semakin biasa di seluruh wilayah selatan Eropah.

    Panas melampau direkodkan di Itali, Greece, Sepanyol dan Portugal baru-baru ini dengan penduduk tempatan dan pelancong sama-sama berlindung daripada keadaan panas terik.

    Dua pertiga daripada kawasan Portugal berada dalam keadaan berjaga-jaga kelmarin berikutan cuaca panas melampau dan kebakaran hutan, dengan suhu dijangka mencecah 42 darjah Celsius di Lisbon.

    Di Itali, beberapa wilayah sepert Lazio, Tuscany, Calabria, Puglia dan Umbria kemungkinan mengharamkan beberapa aktiviti luar pada waktu paling panas sebagai langkah berjaga-jaga. Kesatuan sekerja Itali turut mendorong kerajaan untuk melanjutkan langkah sedemikian di seluruh negara.

    Kementerian Kesihatan Itali kelmarin meletakkan 21 daripada 27 bandar yang dipantau di bawah amaran haba tertingginya, termasuk destinasi percutian popular seperti Rom, Milan dan Naples.

    Sekumpulan pengunjung berlindung di bawah teduhan di sepanjang sungai Seine di Paris kelmarin. – AP

    Di kawasan-kawasan popular sepert Colosseum dan Trevi Fountain, pelancong sentiasa mencari tempat teduh sambil menggunakan payung dan minum dari air pancutan air awam untuk kekal sejuk.

    Suasana yang sama juga berlaku di Milan dan Naples, di mana penjual jalanan menikmati jualan yang laris dengan menjual air limau kepada pelancong dan penduduk untuk menawarkan sedikit kelegaan.

    Greece sekali lagi berada dalam amaran kebakaran yang tinggi kerana cuaca ekstrem, dengan gelombang panas musim panas pertama dijangka berterusan sepanjang hujung minggu.

    Kebakaran besar turut berlaku di selatan Athens pada Khamis lalu memaksa pemindahan dan penutupan jalan berhampiran kuil purba Poseidon. Angin kencang telah menyebarkan api, merosakkan rumah dan meniup asap tebal ke langit.

    Pihak berkuasa Greece telah mengerahkan 130 anggota bomba, 12 pesawat dan 12 helikopter untuk memadam kebakaran, manakala polis memindahkan 40 orang, dengan penduduk di lima kawasan diarah supaya berpindah.

    Di Sepanyol pula, bacaan suhu dicatat setinggi 42 darjah Celsius di bandar selatan Seville bersama-sama dengan lokasi lain di bahagian selatan dan tengah negara.

    Wilayah berkenaan merekodkan suhu melebihi purata bermusim, menyebabkan pihak berkuasa mengeluarkan amaran kesihatan dan cadangan keselamatan. Perkhidmatan meteorologi negara Aemet turut meramalkan bahawa bacaan pada bulan Jun bakal memecahkan satu lagi rekod.

    Pakar turut memberi amaran bahawa haba yang ekstrem boleh menjejaskan kehidupan seharian, terutamanya golongan warga tua dan kanak-kanak sambil menasihatkan supaya tidak melakukan aktiviti fizikal pada waktu paling panas dan mengesyorkan supaya minum banyak air. –  AP

    Suasana di pantai pada hari yang panas di Barcelona, ​​Sepanyol kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda