Tuesday, December 17, 2024
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gelombang kedua hujan lebat cetus banjir besar di Thailand

    BANGKOK, 16 DIS – Lima wilayah di selatan Thailand sekali lagi ditenggelami air berikutan gelombang kedua hujan lebat hujung minggu, dengan lapan korban dilaporkan.

    Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand (DDPM) memaklumkan wilayah-wilayah terjejas ialah Chumphon, Ranong, Surat Thani, Nakhon Si Thammarat dan Phatthalung, membabitkan sekurang-kurangnya 128,035 isi rumah.

    Ketua Pengarah DDPM Phakkharin Boonyalaksana menjelaskan banjir itu berpunca daripada hujan lebat hingga sangat lebat akibat sistem tekanan tinggi sederhana hingga kuat yang bergerak dari China.

    “Pasukan tindak balas kecemasan, lengkap dengan peralatan bantuan bencana dikerahkan untuk mengepam air keluar dari kawasan terjejas dan meringankan kesulitan penduduk,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook rasmi DDPM di sini pada Isnin.

    Phakkharin berkata pasukan perintah hadapan sedang memantau situasi dengan teliti serta bekerjasama dengan pihak berkuasa peringkat wilayah dan tempatan bagi mempercepatkan usaha bantuan.

    Pejabat Pencegahan dan Mitigasi Bencana Wilayah diarahkan untuk menilai dan mendokumentasikan kerosakan bagi tujuan pampasan berdasarkan peraturan Kementerian Kewangan dan panduan lain yang berkaitan.

    Sepanjang banjir yang berlaku sejak 22 Nov, sebanyak 11 wilayah di selatan terjejas melibatkan 737,091 isi rumah dengan 35 kematian dilaporkan. – Bernama

    Penduduk berjalan meredah banjir di wilayah Yala, Thailand. Lima wilayah di selatan Thailand sekali lagi ditenggelami air berikutan gelombang kedua hujan lebat hujung minggu, dengan lapan korban dilaporkan. – Xinhua
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda