KUALA LUMPUR, 27 JAN – Gelombang varian Omicron telah bermula di Malay-sia dan dijangka meningkatkan kes jangkitan COVID-19 di negara ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata keadaan itu bagaimanapun mampu dikawal dengan kadar vaksinasi yang tinggi.
“Sistem kesihatan sudah bersiap siaga. Kes serius semakin kurang. Sama-sama kita mengatasi gelombang ini,” katanya menerusi ciapan di akaun Twitter hari ini.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi catatan di laman Facebook memaklumkan kesiapsiagaan Kementerian Kesihatan turut meliputi pelaksanaan langkah-langkah kesihatan awam dan liputan ujian kendiri berkala.
“… diharapkan (langkah ini) dapat mengurangkan keparahan kes dan kemasukan ke hospital.
Kes akan meningkat dan kita bersama dapat mengurangkan kesan peningkatan serta
keparahan jangkitan terutama kepada golongan rentan,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan menekankan, orang ramai perlu bekerjasama untuk memerangi pandemik COVID-19 menerusi pemerkasaan komuniti susulan gelombang varian Omicron dalam negara.
Khairy menerusi akaun Twitter hari ini berkata tiada sekatan atau kompaun tinggi akan dilaksanakan sebaliknya rakyat perlu menumpukan perhatian kepada tingkah laku sendiri.
“Pakai pelitup muka terutama di kawasan sesak. #TRIIS. Dapatkan dos penggalak. Sokong #PICKids (vaksinasi untuk kanak-kanak),” menurut ciapan beliau.
Terdahulu, Khairy berkata gelombang Omicron telah bermula di Malaysia dan kes COVID-19 dalam negara dijangka meningkat.
Bagaimanapun, beliau berkata situasi itu terkawal kerana negara mempunyai kadar vaksinasi yang tinggi. – Bernama