NEW DELHI, 2 JUN – Suhu melepasi 50 darjah Celsius di utara India ketika gelombang panas berterusan mencetuskan amaran bekalan air terputus dan strok haba.
Jabatan kaji cuaca berkata, bandar padang pasir Churu di Rajasthan semalam mencatat 50.6 darjah Celsius.
Seluruh Rajasthan mengalami cuaca panas melampau dengan beberapa bandar mencecah suhu maksimum melebihi 47 darjah Celsius.
Pada Mei 2016, Phalodi di Rajasthan merekodkan suhu tertinggi di seluruh India iaitu 51 darjah Celsius.
Jabatan Meteorologi India berkata, cuaca panas terik melampau mungkin kekal sehingga seminggu di seluruh negeri Rajasthan, Maharashtra, Madhya Pradesh, Punjab, Haryana dan Uttar Pradesh.

Beberapa kematian dikaitkan strok haba sudah direkodkan.
Satu amaran merah cuaca panas melampau dikeluarkan di ibu kota ini ketika suhu melepasi paras 46 darjah Celsius, dan penduduk dinasihatkan supaya tidak keluar rumah.
Malah di negeri atas bukit di Himachal Pradesh, di mana penduduk kaya India pergi bercuti untuk melarikan diri dari haba musim panas, suhu mencecah 44.9 darjah Celsius di Una.
Beberapa bandar utama, diterajui Chennai melaporkan kebimbangan bekalan air terputus ketika tasik dan sungai mulai mengering.
Di negeri barat Maharashtra, petani bergelut mencari air untuk haiwan dan tanaman.
“Kami terpaksa meminjam tangki air dari kampung berhampiran oleh kerana tempat tadahan air, tasik dan sungai mengering. Petani hanya memperoleh air setiap tiga hari untuk ternakan,” kata Rajesh Chandrakant, penduduk di Beed, daerah paling teruk terjejas. – AFP