Tuesday, September 24, 2024
34.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gelombang tsunami kecil tiba di pulau terpencil Jepun

    TOKYO, 24 SEPT – Gelombang tsunami kecil tiba di darat di pulau terpencil Jepun pagi tadi selepas gempa bumi yang mungkin dicetuskan oleh aktiviti gunung berapi.

    Gempa luar pesisir tidak dirasai dan amaran tsunami telah ditarik balik kira-kira tiga jam kemudian. Tiada kerosakan atau kecederaan dilaporkan.

    Agensi Meteorologi Jepun (JMA) telah menasihatkan bahawa ombak sehingga 1 meter di atas paras air pasang boleh berlaku di pantai rantaian pulau Izu dan Ogasawara selepas gempa bumi berukuran 5.9 magnitud berlaku di luar Kepulauan Izu. Kajian Geologi Amerkia Syarikat telah mengukur kekuatan gempa pada magnitud 5.6.

    Kira-kira 21,500 orang tinggal di pulau-pulau dalam kumpulan Izu dan kira-kira 2,500 di Kepulauan Ogasawara.

    JMA berkata tsunami setinggi kira-kira 50 sentimeter dikesan di daerah Yaene di Pulau Hachijo kira-kira 30 minit selepas gempa itu. Ombak yang lebih kecil dikesan di tiga pulau lain – Kozushima, Miyakejima dan Izu Oshima.

    Gempa luar pesisir itu berlaku kira-kira 180 kilometer di selatan pulau Hachijo, iaitu kira-kira 300 kilometer di selatan Tokyo.

    Sementara itu, penduduk di Hachijo pula berkata mereka tidak merasai gegaran itu dan hanya mendengar nasihat tsunami, kata televisyen awam NHK Jepun.

    Fumihiko Imamura, pakar seismologi Universiti Tohoku, berkata tsunami itu dipercayai ada kaitan dengan aktiviti gunung berapi bawah laut. Beliau menggesa penduduk pesisir pantai supaya berjaga-jaga semasa nasihat itu dilaksanakan. – AP

    Seorang pegawai JMA bercakap di sidang akhbar di Tokyo hari ini berikutan pemerhatian tsunami 20 inci di Pulau Hachijo yang berlaku selepas gempa bumi. – AP

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda