Thursday, September 19, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gema dikir Maulud di Istana Nurul Iman

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT – Bagi menghidupkan lagi Sambutan Maulidur Rasul SAW, Majlis Dikir Maulud telah diadakan di Istana Nurul Iman pada hari ke- 11, kelmarin.

    Antara yang hadir di majlis itu adalah Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan (KKBS), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Awang Mohamad, dan Setiausaha Tetap (Kebeliaan), Haji Zakaria bin Haji Serudin.

    Majlis berkenaan dimulakan dengan sembahyang Isyak berjemaah yang diimamkan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Mohd Amin bin Haji Salim dan kemudiannya diteruskan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Haji Abd Aziz bin Haji Ghani disusuli dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Muhammad Nur Razin bin Rosli dari Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).

    Manakala tazkirah bertajuk Tawaduk Rasulullah SAW telah disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama di Pusat Dakwah Islamiah, Ustaz Haji Muhammad Najib bin Haji Awang.

     Ustaz Haji Muhammad Najib menyampaikan tazkirah.

    Majlis turut diserikan dengan persembahan Dikir Assalamualaika dan Dikir Asyrakal daripada KKBS yang diketuai oleh Yang Berhormat Menteri.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi dalam majlis dikir berkenaan.

    Seterusnya persembahan diteruskan dengan Dikir Khairuman daripada Pasukan Polis Diraja Brunei, sementara Dikir Bisyahrin dari Belia Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Rimba, dan KUPU SB membawakan persembahan dikir Al-Hamdu dan Dikir Badat.

    Doa Dikir dan Doa Peliharakan Sultan dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Haji Abd Aziz.

    Turut hadir ke majlis berkenaan adalah pegawai-pegawai dari KKKBS, ahli-ahli Pertubuhan WARGAMAS, ahli Belia Masjid RIPAS Rimba, dan juga kakitangan KUPU SB.

    Antara peserta wanita dalam majlis dikir berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI 

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda