Thursday, February 13, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gembala gajah Thai didakwa atas kematian pelancong Sepanyol

    BANGKOK, 8 JAN – Polis Thailand hari ini mendakwa seorang gembala gajah atas kecuaiannya selepas insiden seekor gajah membunuh seorang pelancong Sepanyol di sebuah tempat perlindungan di selatan Thailand minggu lalu.

    Wanita Sepanyol berusia 23 tahun itu maut selepas seekor gajah panik lalu melanggarnya dengan belalainya pada kejadian di Pusat Jagaan Gajah Koh Yao di wilayah Phang Nga.

    Polis mendakwa gembala gajah, yang juga seorang pekerja di tempat perlindungan itu atas kecuaiannya kerana gagal menghalang kejadian maut itu.

    “Kami mendakwanya kerana cuai sehingga menyebabkan kematian dan dia akan dibawa ke mahkamah hari ini,” kata ketua polis tempatan, Jaran Bangprasert kepada AFP.

    Gembala gajah itu, yang dikenal pasti oleh media tempatan sebagai warga Thailand berusia 38 tahun, berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda 200,000 baht (AS$5,700) jika disabit bersalah.

    Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemuliharaan Tumbuhan melaporkan gajah liar membunuh 227 orang, termasuk pelancong, dalam tempoh 12 tahun lalu.

    Seekor gajah membunuh seorang wanita berusia 49 tahun di sebuah taman negara di wilayah Loei di utara Thailand, bulan lalu.

    Biarpun pertemuan antara penduduk kampung dan gajah liar adalah perkara biasa, serangan di tempat perlindungan kekal sangat jarang berlaku. – AFP

    Gambar fail menunjukkan gajah disembur dengan air di perkampungan puak bukit Baan Tong Luang di barat Chiang Mai.- AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda