ORNSKOLDSVIK, SWEDEN – Suatu masa dulu, kucing lynx, serigala dan burung helang yang memburu rusa kutub merupakan kebimbangan utama untuk gembala rusa kutub ketika mereka memindahkan haiwan ternakan mereka untuk mencari makanan pada musim sejuk.
Namun sekarang Margret Fjellstrom dan Daniel Viklund, pasangan suami isteri dari komuniti penduduk asli Sami di Sweden dengan beratus rusa kutub kuning keperang-perangan, bimbang mengenai satu ancaman baharu.
Pola cuaca yang berubah di utara Sweden memaksa mereka berpindah lebih jauh untuk mencari padang ragut untuk rusa kutub mereka, mendesak kos naik dan juga mengambil lebih banyak masa.
Berpakaian jaket dan seluar ski dalam suhu sejuk negatif 17 darjah Celsius, pasangan itu memerhati pada satu pagi pada Februari tatkala haiwan mereka menghentak-hentakkan kaki dalam salji tebal untuk memakan liken.
Ia merupakan sumber makanan utama haiwan tersebut pada musim sejuk di lereng bukit berhampiran pantai Laut Baltik di Sweden.
Dulu apabila salji turun seperti ini merupakan kejadian yang lazim berlaku, ibu bapa gembala Fjellstrom akan mengikut jalan penghijrahan yang sama setiap tahun, berhenti di tempat yang boleh dipercayai untuk makanan.


Namun situasi sudah berubah sekarang.
“Hujan boleh turun pada Januari, salji boleh turun pada Mei, tidak adanya logik dalam keadaan cuaca sekarang,” kata Fjellstrom, 39, sambil duduk bersama Viklund di sebelah kereta salji mereka.
Di antara tahun 1991 dan 2019, sebahagian kawasan utara dan timur Sweden melihat kenaikan dalam suhu purata sebanyak hampir dua darjah Celsius berbanding tempoh 1860 hingga 1900, kata institut meteorologi Sweden dalam satu laporan.
Selama beberapa hari pada awal Januari, suhu di utara meningkat kira-kira 10 darjah Celsius lebih daripada biasa, kata institut.
Pada 2 Januari, stesen cuaca di tengah Sweden melaporkan suhu tertinggi untuk bulan itu sejak 1971.
Suhu tinggi di luar musim menyebabkan salji cair dan membeku sekali lagi apabila musim sejuk kembali, membina lapisan ais yang lebih tebal yang menghalang rusa kutub daripada menggali menerusi salji untuk mendapatkan liken.
Untuk memastikan haiwan tersebut mendapat makanan semasa perpindahan, pasangan itu menghabiskan dua bulan bergilir-gilir mencari tempat yang tidak pernah dilalui, sebelum memulakan perjalanan bersama haiwan berkenaan.
Memindah rusa kutub dari padang ragut musim panas sekarang sering membabitkan mengemudi mereka menerusi lebuh raya, ladang kincir angin atau projek hidroelektrik.
Perjalanan pada tahun ini mengambil masa dua kali lebih lama berbanding apabila ia dilakukan dalam cuaca yang boleh diramalkan, kata Fjellstrom.
“Masalah terbesar yang dihadapi hari ini adalah perubahan iklim,” keluhnya.
Puak Sami telah menggembala rusa kutub di kawasan utara Sweden, Norway, Finland dan Rusia selama beberapa ge-nerasi dan dipercayai berjumlah di antara 80,000 dan 100,000, dengan kebanyakan mereka tinggal di atas Garisan Artik.
Di Sweden, hanya puak Sami dibenarkan menggembala haiwan, diternak untuk daging, kulit dan juga tanduk haiwan berkenaan.
Fjellstrom dan Viklund memindah ternakan mereka setiap tahun dari Dikanas, sebuah kampung yang terletak 800 kilometer dari utara Stockholm, ke kawasan pamah berhampiran Ornskoldsvik.
Mula-mula mereka membawa haiwan dengan lori, kemudian melepaskan dan mengikuti haiwan itu dengan kereta salji, menjejakinya menggunakan kolar GPS.
Viklund memerhati tatkala rusa kutub menghilangkan dalam hutan yang dipenuhi salji, sebelum melancarkan satu dron dengan pembesar dipasang di atas.
Ia membenarkan beliau menjejaki haiwan berkenaan apabila salji tebal menjadikan perjalanan dengan kereta salji sukar dan mustahil.
Beliau juga boleh menggi-ring haiwan itu dengan rakaman anjing menyalak apabila haiwan berkenaan menuju ke kawasan tanpa makanan ataupun berbahaya seperti jalan raya atau ladang kincir angin di mana bunyi turbin menakutkan rusa kutub.
“Kami mengalami hari-hari yang luar biasa, salji hanya beberapa sentimeter tebal,” kata beliau. Ia adalah cara untuk menyesuaikan diri.”
Bimbang haiwan ternakan tidak mempunyai makanan cukup, pasangan itu mengasingkan kumpulan haiwan dan meminta sepupu Fjellstrom untuk memindah separuh lagi.
Ia merupakan perbelanjaan tambahan untuk Neila Fjellstrom, 31 tahun, tetapi beliau memahami keperluan tersebut.
“Musim sejuk luar biasa ialah musim sejuk normal,” katanya.
Penduduk Sami dan rusa kutub mereka mudah terdedah kepada kesan perubahan iklim, menurut penyelidikan.
“Iklim panas mengubah keadaan tumbuh-tumbuhan dan mengancam kesejahteraan rusa kutub serta akses kepada makanan,” kata Universiti Oulu Finland dan Pusat Penyelidikan Alam Sekitar dan Kesihatan Pernafasan dalam satu kajian pada tahun lalu.
Ramai penduduk Sami lebih bimbang mengenai suhu yang berubah-ubah sekarang, daripada infrastruktur yang semakin menceroboh, kata Gunhild Rosqvist, penyelidik dari Universiti Stockholm yang mengkaji kesan perubahan iklim dalam persekitaran gunung dan kutub.
“Saya fikir kesedaran mereka tentang risiko telah meningkat,” beritahunya kepada AFP.
Di pasar tahunan Sami di Jokkmokk di atas Garis Artik pada awal Februari, beribu-ribu penduduk Sami bergaul dengan pelancong, beberapa minggu sebelum koronavirus memaksa negara di seluruh dunia memperkenalkan lockdown.
Produk rusa kutub dipamerkan, daripada periuk stu daging rusa kutub kepada kulit lembut dan pisau dengan pemegang yang diukir daripada tanduk rusa.
“Menggembala rusa kutub telah diamalkan beratus-ratus tahun dan ia membentuk sebahagian daripada budaya Sami yang penting,” kata Kjell-Ake Aronsson, penyelidik di muzium tempatan.
“Daging rusa kutub ialah satu produk yang penting,” tambah beliau.
“Ramai orang berkaitan rapat dengan aktiviti menggembala rusa kutub.”
Parlimen Sami di Sweden menganggarkan kira-kira 2,000 orang bergantung pada ke-giatan menggembala 250,000 haiwan untuk menyara hidup mereka.
Jauh daripada orang ramai, aktivis muda Sami, dalam pa-kaian tradisional yang disulam dalam warna biru dan merah, berkumpul untuk mengadakan ‘mogok iklim’ yang dihadiri oleh Greta Thunberg.
Anak perempuan Fjellstrom dan Viklund yang berusia 17 tahun, Alva juga bercakap pada acara itu dan berharap dapat menjadi seorang gembala.
Namun usaha meningkat yang diperlukan untuk menggembala rusa kutub sekarang membuat Viklund bimbang mengenai masa depan.
“Saya mahu memberikan anak saya peluang untuk melakukannya,” kata beliau, mata hari terbenam, menampakkan bayang-bayang biru di atas salji. Perubahan iklim mungkin menghancurkan impian tersebut.” – AFP