Thursday, February 6, 2025
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gembira dapat bersua muka raja dikasihi

    Oleh Yusrin Junaidi –

    Keriangan jelas terpancar pada wajah setiap rakyat dan penduduk ketika menantikan keberangkatan raja yang dikasihi ke Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat serta Penduduk Daerah Brunei dan Muara sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-77 hari ini.

    Ratusan rakyat dan penduduk di daerah berkenaan berpusu-pusu membanjiri ibu negara bagi sama-sama memeriahkan acara yang diadakan di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.

    Wartawan berkesempatan menemu bual beberapa warga asing dari Palestin dan Sudan di kawasan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien. Menurut Rodina, 15 tahun dari Sudan, acara berkenaan memang istimewa dengan tradisinya yang tersendiri semasa hadir menyaksikan majlis ramah mesra dan junjung ziarah tersebut.

    Manakala Dayang Hala, 13 tahun dari Palestin, berkata menghadiri acara ramah mesra memang seronok kerana berkesempatan bersemuka dengan Baginda Sultan secara dekat dan bersalaman dengan kerabat diraja.

    Sementara itu, Awang Mustafa, 10 tahun dari Palestin dan Maya, 11 tahun dari Syria juga berasa bertuah berada di Negara Brunei Darussalam, sebuah negara aman damai dengan pemimpin yang adil dan kasih kepada rakyat dengan mengadakan acara bagi mengongsikan kegembiraan Baginda bersama-sama rakyat.

    Awang Mohammad Firdaus selaku wakil institut pengajian tinggi semasa ditemui di acara tersebut. – Gambar oleh Yusrin Junaidi
    Raden Mas Muhammad Mukhriz ketika ditemu bual media. – Gambar oleh Yusrin Junaidi
    Kapten Sharifah ketika ditemui merafakkan sembah syukur dan menjunjung kasih semasa Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat serta Penduduk Daerah Brunei dan Muara kelmarin. – Gambar oleh Yusrin Junaidi
    Pelancong dari Palestin, Sudan dan Syria berasa seronok untuk sama-sama memeriahkan majlis ramah mesra kelmarin. – Gambar oleh Yusrin Junaidi

    Timbalan Pengerusi Tetap Majlis Belia Brunei, Raden Mas Muhammed Mukhriz bin Radin Mas Emran, ketika ditemu bual berkata penglibatan Majlis Belia Brunei di acara ramah mesra merupakan kegiatan yang diadakan setiap tahun untuk sama-sama memeriahkan lagi perayaan berkenaan.

    Seterusnya beliau juga menyentuh mengenai keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia terhadap kebajikan belia di negara ini yang telah banyak menyediakan kemudahan untuk dinikmati oleh para belia. Menurutnya, sebagai belia Brunei insya Allah akan sentiasa berusaha dan menabur bakti untuk menjadi pemimpin masa hadapan ke arah mencapai wawasan 2035.

    Di samping itu, Awang Mohammad Firdaus bin Sait, 21 tahun, pelajar Fakulti Teknologi Islam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), turut mengambil kesempatan itu untuk merafakkan doa semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia kekal karar memerintah negara serta sentiasa sihat afiat dan sejahtera agar dapat berterusan menerajui kepimpinan negara dengan penuh rahmat dan inayat.

    Beliau berkata pada tahun ini, 20 mahasiswa dan mahasiswi dari UNISSA, UBD, UTB, IBTE dan Politeknik Brunei menyertai acara di ibu negara.

    Beliau juga merasa berbesar hati dan bersyukur dapat menikmati kemudahan yang diberikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam pendidikan terutamanya pendidikan agama di institusi pengajian tinggi yang setanding dengan negara-negara maju.

    Beliau merafakkan junjung kasih dan syukur atas kurnia pendidikan percuma agar dapat membangunkan belia menerusi pendidikan berkualiti.

    Selain itu, Kapten Sharifah Czarena Suriany Syed Hashim dari Syarikat Penerbangan Diraja Brunei turut merafakkan sembah syukur dan menjunjung kasih atas keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia bercemar duli bagi majlis berkenaan.

    Beliau berkata penyertaan dalam majlis ramah mesra berkenaan merupakan satu aktiviti wajib baginya dan satu kebanggaan kerana berpeluang bersua muka dengan Baginda Sultan secara dekat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda