Monday, September 16, 2024
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gembira tuai hasil ternakan ikan tilapia merah

    PUCHONG – ‘Hasil tidak mengkhianati usaha, begitulah dapat disifatkan apabila ikan tilapia merah yang diusahakan kumpulan pertama peserta Inisiatif Pendapatan Rakyat-Inisiatif Usahawan Tani (IPR-INTAN) sektor akuakultur akhirnya matang dan boleh dipasarkan.

    Zulkefli Shafie, 40, seorang daripada lima peserta program itu, berkongsi berita gembira tersebut dengan Bernama selepas hampir lima bulan menternak tilapia di Pusat Pembenihan Ikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Puchong, Selangor.

    “Mungkin pendapatan sekarang RM2,000 sebulan tetapi lepas sertai program IPR-INTAN ini, mungkin boleh cecah RM6,000 sebulan. Pada pandangan saya, memang nampaklah keberkesanan program ini. Saya harap kerajaan akan teruskan,” katanya ketika ditemui Bernama pada Program Jualan Tilapia Segar IPR-INTAN baru-baru ini.

    Berkongsi pengalaman menyertai IPR-INTAN, Zulkefli berkata pada mulanya setiap peserta mengusahakan empat sangkar ikan namun jumlah itu meningkat kepada 12 sangkar apabila saiz ikan semakin membesar.

    “Kami masing-masing ada 12 sangkar ikan yang ada antara 400 dan 500 ekor ikan dalam satu sangkar,” katanya yang menyertai program itu dengan tekad mahu meningkatkan tahap ekonominya.

    Peserta menyediakan khidmat menyiang ikan kepada pembeli ketika Program Jualan Tilapia Segar IPR-INTAN di Pusat Pembenihan Ikan, UPM, Puchong baru-baru ini.- Bernama
    Assahril Azuan Alid, menunjukkan sebahagian dari ternakan ikan tilapia. – Bernama
    Suasana di sekitar Pusat Pembenihan Ikan, UPM – Bernama
    Gambar Bernama

    Menurut Zulkefli, beliau bersama empat peserta lain telah mula ‘menuai’ hasil sejak awal bulan ini apabila mendapat permintaan daripada pelanggan khususnya sahabat handai dan rakan sepejabat.

    “Saya sendiri sudah jual 15 kilogram (kg) sebab sudah ada pelanggan yang mahu. Macam hari ini ada program jualan, pelanggan boleh ke sangkar ikan untuk menyauk ikan sendiri dan dari situ saya sasar untuk tingkat jualan kami,” katanya.

    Daripada segi pemasaran, beliau berkata perkara itu tidak menjadi masalah kerana mereka telah didedahkan dengan pelbagai ilmu oleh tenaga pengajar UPM termasuk kaedah penternakan ikan dan pemasaran.

    “IPR-INTAN ini sangat bermanfaat dan perlu diteruskan bagi membantu golongan B40 menimba ilmu untuk menjadi usahawan tani yang berdaya saing dalam memantapkan keterjaminan makanan negara,” katanya.

    Februari lepas, Bernama ada melaporkan spesies ikan tilapia merah dijadikan ikan ternakan dalam sangkar untuk diusahakan lima peserta IPR-INTAN bagi sektor akuakultur di UPM bermula Disember lepas, setelah mereka mengikuti kelas bimbingan daripada tenaga pengajar UPM.

    Menurut Zulkefli, beliau berhasrat untuk memiliki kolam ternakan ikan dan pusat pembenihan sendiri bagi memanfaatkan ilmu yang diperoleh itu termasuk pendedahan tentang pertanian pintar berteraskan Internet Kebendaan (IoT).

    “Saya berminat untuk ceburi bidang ini (pembenihan ikan) pada masa hadapan sebab kita dah ada IoT, tak perlu tunggu ikan bertelur. Itu impian saya,” katanya yang sebelum ini menternak ikan tilapia dan keli sangkar secara kecil-kecilan dengan hanya merujuk media sosial.

    Seorang lagi peserta, Assahril Azuan Alid, 43, pula telah menjual 34kg tilapia setakat ini dan menjangkakan jualan akan terus meningkatkan ekoran permintaan menggalakkan terutamanya secara dalam talian.

    Turut bercita-cita untuk memiliki kolam ternakan sendiri, beliau berkata ilmu yang dimiliki dan sedang diamalkannya itu tidak patut disia-siakan, sebaliknya perlu diamalkan dengan mengusahakan ternakan ikan sangkar secara besar-besaran apabila tamat tiga pusingan ternakan di Pusat Pembenihan Ikan UPM hujung tahun ini.

    “Saya sertai IPR-INTAN sebab saya minat. Sebelum ini saya ternak ikan keli sekadar hobi sahaja. Tapi apabila tahu tentang IPR-INTAN, saya mohon, dan kini saya salah seorang peserta dan usahakan ternakan ikan sangkar tanpa perlu keluar modal,” katanya.

    Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UPM, Prof Ir Dr Hang Tuah Baharuddin berkata inisiatif berkenaan merupakan mandat daripada Kementerian Ekonomi untuk menjayakan IPR-INTAN dengan menyediakan latihan dan lokasi kepada peserta.

    “Apa yang kita lihat hari ini adalah sebahagian daripada projek IPR-INTAN. Kita mahu lahirkan petani dan penternak moden yang guna teknologi terkini dalam menghasilkan sumber makanan,” katanya.

    Beliau berkata UPM menetapkan tiga pusingan ternakan bagi melatih peserta melalui pelbagai situasi termasuk berdepan kegagalan.

    “Kalau kata salah satu pusingan ada yang gagal, sekurang-kurangnya peserta akan belajar bagaimana untuk hadapi kegagalan. Dalam menternak, pihak UPM bukan ajar untuk besarkan ikan sahaja tapi kita mahu mereka ada pengalaman dan ilmu sebelum menceburkan diri dalam pertanian berskala besar,” katanya.

    Selain itu katanya setiap peserta juga didedahkan dengan kemahiran untuk menghasilkan produk hiliran seperti sejuk beku dan filet ikan sebagai nilai tambah kepada produk sedia ada bagi mengelakkan pembaziran. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda