Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gempa 5.8 magnitud gegar barat daya Turkiye

    ANKARA, 3 JUN – Gempa bumi bermagnitud 5.8 melanda kawasan Marmaris di barat daya Turkiye awal pagi hari ini, mengorbankan seorang remaja perempuan dan mencederakan puluhan yang lain, menurut Menteri Dalam Negeri Turkiye.

    Agensi bencana AFAD Turkiye memaklumkan gempa tersebut berlaku pada jam 2:17 pagi kira-kira 10 kilometer dari pesisir pantai Marmaris. Gegaran turut dirasai di Greece dan sejauh Mesir.

    Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun meninggal dunia akibat serangan panik, manakala kira-kira 70 orang cedera di wilayah Mugla ketika mereka bergegas menyelamatkan diri, termasuk “beberapa yang melompat dari tempat tinggi,” kata Menteri Dalam Negeri, Ali Yerlikaya menerusi hantaran di X.

    Dia berkata, tiada laporan awal mengenai kemusnahan bangunan di kawasan kediaman.

    “Di Fethiye, seorang remaja perempuan bernama Afranur Gunlu, 14 tahun, dibawa ke hospital akibat serangan panik namun, malangnya, walaupun pelbagai usaha dilakukan, dia tidak dapat diselamatkan,” ujar Yerlikaya.

    Fethiye terletak kira-kira 100 kilometer ke timur Marmaris.

    Daripada jumlah yang cedera, 14 dirawat di tempat kejadian, lapan menerima rawatan ringan dan dibenarkan pulang, manakala 46 lagi masih dirawat di hospital, katanya. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda