JAKARTA, 26 SEPT – Empat orang maut selepas gempa kuat menggegarkan kepulauan Maluku yang terpencil hari ini, memusnahkan kediaman dan mencetuskan kejadian tanah runtuh mengorbankan sekurang-kurangnya seorang mangsa.
Gempa bumi kuat berukuran 6.5 menggegarkan kepulauan Maluku yang terpencil di timur Indonesia hari ini, kata pakar gempa bumi Amerika Syarikat tetapi tiada amaran tsunami dikeluarkan.
Gegaran berlaku kira-kira 37 kilometer di timur laut Ambon di Maluku pada jam 8:45 pagi ini waktu tempatan, pada kedalaman 29 kilometer, menurut Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Dua orang maut akibat terkena runtuhan bangunan, seorang lagi tertimbus dalam kejadian tanah runtuh sementara seorang wanita maut selepas terjatuh dari motosikal ketika melarikan diri menuju kawasan tanah tinggi, menurut agensi pencegahan bencana dan para pegawai penyelamat.
Beberapa penduduk Ambon daripada kira-kira 400,000 orang dilihat membantu mangsa yang cedera dan berlumuran darah sementara beberapa buah rumah runtuh dengan dinding bertaburan di atas tanah. – AFP
