Sunday, December 15, 2024
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gempa 6.7 magnitud landa selatan Filipina

    MANILA, 9 JAN – Gempa bumi berukuran 6.7 magnitud melanda pantai selatan Filipina pada hari ini, kata Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS), tetapi menurut pihak berkuasa tempatan tiada laporan mengenai kematian atau kerosakan.

    Gempa itu berlaku pada kedalaman 70 kilometer (43 batu) kira-kira 100 kilometer di tenggara perbandaran Sarangani di luar pulau Mindanao, kata USGS.

    Ia tidak mencetuskan amaran tsunami, menurut Sistem Amaran Tsunami Amerika Syarikat (AS) dan agensi seismologi Filipina.

    “Dengan rahmat Tuhan ia tidak begitu kuat di wilayah kami,” kata Ketua Master Sarjan Ian Roy Balandan dari pejabat polis wilayah Sarangani di Mindanao.

    Balandan memberitahu AFP tiada laporan mengenai kemalangan jiwa atau kerosakan infrastruktur atau rumah.

    “Ia benar-benar ringan. Orang ramai tidak merasakannya,” katanya.

    Harly Sauro, pegawai bencana di perbandaran Sarangani, yang merupakan sekumpulan kecil pulau yang membentuk sebahagian daripada wilayah Davao Occidental, berkata gempa itu tidak menyebabkan sebarang kerosakan atau kemalangan jiwa, tetapi mengganggu sesetengah orang daripada tidur mereka.

    Gempa bumi kerap melanda Filipina, yang terletak di sepanjang Lingkaran Api Pasifik, lengkok aktiviti seismik dan gunung berapi yang kuat yang membentang dari Jepun melalui Asia Tenggara dan merentasi lembangan Pasifik.

    Namun kebanyakan gempa terlalu lemah untuk dirasai oleh manusia.

    Bulan lalu, gempa bumi berukuran 7.6 magnitud melanda Mindanao, mencetuskan amaran tsunami secara ringkas. Sekurang-kurangnya tiga orang meninggal dunia. – AFP

    – Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda