ISTANBUL, 8 FEB – Angka kematian akibat kejadian gempa kuat yang melanda Turkiye dan Syria meningkat kepada lebih 11,200 orang hari ini, ketika para penyelamat berusaha untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan dalam keadaan cuaca sejuk.
Pegawai dan petugas perubatan berkata 8,574 orang maut di Turkiye dan 2,662 orang di Syria selepas gempa berukuran 7.8 magnitud pada Isnin, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 11,236 orang.
Hampir 50,000 orang turut mengalami kecederaan di Turkiye dan 5,000 orang lagi di Syria, kata pegawai dan penyelamat.
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan memberikan laporan terkini jumlah korban semasa mengadakan lawatan di Kah-ramanmaras, bandar selatan Turkiye yang merupakan pusat gempa.
Imej daripada televisyen menunjukkan beliau berjalan di tengah-tengah orang ramai menuju khemah bantuan kemanusiaan Palang Merah.
Berdepan dengan pelantikan semula yang sukar pada 14 Mei nanti, Erdogan berikrar untuk membangunkan semula wilayah yang terjejas dalam tempoh setahun.
Beliau juga menolak kritikan bahawa tindak balas kerajaan terhadap bencana paling teruk di negara itu yang dikatakan perlahan.
“Pada mulanya terdapat isu-isu di lapangan terbang dan jalan-jalan raya, tetapi hari ini keadaan semakin pulih dan esok akan menjadi lebih baik,” katanya.
“Kami sudah menggerakkan semua sumber yang kami ada,” tambahnya. “Kerajaan sedang menjalankan tugasnya.”- AFP
