Thursday, January 30, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gempa baharu landa Turkiye

    ANKARA, 27 FEB – Sekurang-kurangnya seorang maut manakala 69 lagi cedera selepas gempa bumi berukuran 5.6 pada skala Richter menggegarkan wilayah timur Malatya Turkiye pada hari ini, kata Ketua Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD), Yunus Sezer.

    Gempa bumi dilaporkan berlaku 12:04 tengah hari waktu tempatan dan berpusat 6.96 kilometer di daerah Yesilyurt, lapor agensi Anadolu.

    Gegaran turut dirasai di wilayah Kahramanmaras, Gaziantep, Ad Yaman dan Sanliurfa.

    Datuk Bandar Yesilyurt, Mehmet Cinar, memberitahu agensi televisyen HaberTurk, beberapa bangunan di bandar itu runtuh, termasuk bangunan empat tingkat, di mana seorang bapa dan anak perempuannya terperangkap.

    Cinar berkata kedua-dua mangsa memasuki bangunan yang sudah rosak itu untuk mengambil barang.

    Di tempat lain di Malatya, pasukan mencari dan menyelamat sedang mengalih runtuhan bangunan lain yang roboh di atas beberapa kereta, lapor HaberTurk.

    “Beberapa bangunan turut musnah akibat gempa itu.

    “Pasukan mencari dan menyelamat telah dihantar ke kawasan berkenaan,” menurut ciapan AFAD.

    Agensi pengurusan bencana mengeluarkan amaran agar orang ramai tidak memasuki bangunan yang rosak dan meminta mereka menjauhi struktur berisiko di wilayah itu. – Bernama/AP

    Gambar fail menunjukkan seorang lelaki berjalan dalam kalangan bangunan runtuh di bandar Samandaq selepas gempa bumi melanda kawasan itu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda