JAKARTA, 14 JULAI – Gempa bumi berukuran 6.7 magnitud melanda timur Indonesia hari ini, kata Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS), tetapi pemantau berkata tiada ancaman tsunami.
Gempa itu berlaku pada 12:49 tengah hari waktu Indonesia Barat dan pusat gempa berada pada kedalaman 66 kilometer (km) sekitar 177km barat bandar Tual di wilayah timur Maluku, kata USGS.
Pusat Amaran Tsunami Pasifik berkata tiada ancaman tsunami dan agensi geofizik Indonesia berkata dalam catatan media sosial gempa itu tidak berpotensi menyebabkan tsunami.
Bagaimanapun, tiada laporan segera mengenai kerosakan atau kemalangan jiwa.
Negara kepulauan yang luas itu sering mengalami gempa bumi kerana kedudukannya di ‘Lingkaran Api’ Pasifik.
Gempa bumi berukuran 6.2 magnitud yang menggegarkan Sulawesi pada Januari 2021 membunuh lebih 100 orang dan menyebabkan ribuan kehilangan tempat tinggal.
Pada 2018, gempa bumi berukuran 7.5 magnitud dan tsunami berikutnya di Palu di Sulawesi telah membunuh lebih 2,200 orang.
Pada 2004, gempa bumi berukuran 9.1 magnitud melanda wilayah Aceh, menyebabkan tsunami dan membunuh lebih daripada 170,000 orang di Indonesia. – AFP
