MANILA, 12 OKT – Gempa bumi berukuran magnitud 6.0 menggegarkan berhampiran pantai selatan Filipina kelmarin, kata Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS).
USGS melaporkan gegaran itu berlaku pada kedalaman 59 kilometer (km) dan kira-kira 10km dari bandar Cagwait di wilayah Surigao del Sur.
Tiada laporan segera mengenai kematian akibat gempa itu, kata Pegawai Bomba Cagwait, Arnel Besinga kepada AFP.
“Tempoh gempa itu tidak begitu lama, hanya sekitar 30 saat tetapi ia begitu mendadak dan begitu kuat. Periuk kami di balai bomba jatuh di dapur,” kata Besinga.
Pihak berkuasa penyelamat dan bomba sedang menjalankan penilaian bersama terhadap kerosakan.
“Kami tidak boleh menyatakan tahap kerosakan pada ketika ini kerana sudah malam dan di sini gelap,” kata Besinga.
Masih belum jelas sama ada gempa bumi berukuran magnitud 6.0 di Surigao del Sur adalah gegaran susulan magnitud 6.7 dan 7.4 yang melanda bandar Manay di wilayah Mindanao sehari lalu, yang mengorbankan lapan orang.
Siri gempa itu berlaku hanya beberapa hari selepas gempa bumi berukuran magnitud 6.9 membunuh 75 orang dan mencederakan lebih 1,200 di wilayah Cebu di tengah Filipina, menurut data kerajaan.
Gempa bumi adalah kejadian hampir setiap hari di Filipina, yang terletak di ‘Ring Lingkaran Api’ Pasifik.
Gempa bumi berukuran magnitud 8.0 di luar pantai barat daya pulau Mindanao pada 1976 telah mencetuskan tsunami yang menyebabkan 8,000 orang maut atau hilang, bencana alam paling dahsyat di Filipina. – AFP


