Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Gempa bumi 5.6 magnitud landa Indonesia

    JAKARTA, 26 FEB – Gempa bumi sederhana kuat kelmarin menggegarkan sebahagian pulau utama Indonesia, Jawa dan ibu negara. Namun, tiada laporan mengenai kerosakan atau kecederaan.

    Jabatan Geologi Amerika Syarikat berkata gempa bumi cetek itu mempunyai magnitud awal 5.6 dan ia berlaku 37.2 kilometer di bawah permukaan. Pusat gempa adalah 80 kilometer barat daya Pelabuhanratu, sebuah bandar pantai di wilayah Jawa Barat.

    Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia mengukur magnitud awalnya pada 5.7, dan pada kedalaman 10 kilometer. Variasi dalam pengukuran awal gempa adalah perkara biasa. Gempa itu dirasai dengan kuat di beberapa buah bandar dan kampung dan menyebabkan beberapa orang panik, kata Daryono, yang mengetuai Pusat Gempa dan Tsunami di agensi itu.

    Daryono berkata, tidak ada bahaya tsunami, tetapi memberi amaran tentang kemungkinan gempa susulan.

    Bangunan tinggi di Jakarta, ibu kota, bergoyang selama beberapa saat, malah rumah dua tingkat bergegar kuat di ibu kota wilayah Jawa Barat, Bandung, dan di bandar satelit Jakarta di Bogor dan Bekasi.

    Gempa bumi kerap berlaku di seluruh negara kepulauan yang luas itu, tetapi ia jarang berlaku di Jakarta.

    Indonesia, sebuah kepulauan yang aktif secara seismik dengan 270 juta orang, terdedah kepada pergolakan seismik kerana lokasinya berada pada rekahan geologi utama yang dikenali sebagai ‘lingkaran api’ Pasifik. Gempa bumi berukuran 5.6 pada skala Richter tahun lepas mengorbankan kira-kira 602 orang di bandar Cianjur, Jawa Barat. Ia adalah yang paling maut di Indonesia sejak gempa bumi dan tsunami 2018 di Sulawesi mengorbankan lebih 4,300 orang. – AP

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...