Ahad, 23 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gempa bumi 5.8 magnitud gegar pulau Sulawesi, 29 cedera

    PALU, INDONESIA, 17 OGOS – Satu gempa bumi bawah laut berukuran 5.8 magnitud menggegarkan bahagian timur Indonesia pagi tadi, mencederakan 29 orang termasuk dua dilaporkan kritikal.

    Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa itu berlaku kira-kira 15 kilometer di utara daerah Poso, wilayah Sulawesi Tengah dan diikuti sekurang-kurangnya 15 gempa susulan. Pihak berkuasa Indonesia tidak mengeluarkan amaran tsunami.

    Agensi Mitigasi Bencana Nasional Indonesia (BNPB) memaklumkan, kebanyakan mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital kerajaan wilayah. Majoriti mangsa merupakan jemaah yang sedang menghadiri di sebuah gereja, kata jurucakap BNPB, Abdul Muhari.

     “Video amatur menunjukkan kerosakan struktur pada gereja sedang berlegar. Agensi Mitigasi Bencana Poso terus menjalankan penilaian pantas di lapangan untuk menentukan kesan awal gempa bumi,” katanya.

    Indonesia, negara kepulauan dengan lebih 270 juta penduduk, kerap dilanda gempa bumi, letusan gunung berapi dan tsunami kerana kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik – lengkungan gunung berapi dan garis sesar di Lembangan Pasifik.

    Pada 2022, gempa bumi 5.6 magnitud meragut sekurang-kurangnya 602 nyawa di bandar Cianjur, Jawa Barat, menjadi gempa paling dahsyat di Indonesia sejak bencana gempa dan tsunami di Sulawesi pada 2018 yang mengorbankan lebih 4,300 orang.

    Manakala pada 2004, satu gempa bumi kuat di Lautan Hindi mencetuskan tsunami yang membunuh lebih 230,000 orang di 12 negara, kebanyakannya di wilayah Aceh, Indonesia. – AP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda