TAIPEI, 11 JUN – Gempa bumi berukuran 5.9 magnitud yang berlaku di luar pesisir telah menggegarkan Taiwan hari ini, menurut Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS), dan wartawan AFP turut melaporkan terdapat bangunan yang bergoncang di bandar Taipei.
Pasukan bomba telah dikerahkan untuk menilai kesan gegaran sederhana itu, yang berlaku sejauh 71 kilometer di selatan Bandar Hualien.
Gempa itu melanda di luar pantai timur pulau tersebut pada kedalaman kira-kira 31 kilometer, kata USGS.
“Semasa gempa berlaku, skrin komputer dan kipas bergoyang dengan kuat,” kata seorang anggota bomba yang berada di pantai Chenggong.
“Ia jauh lebih kuat daripada gempa sebelumnya. Saya terus terfikir untuk lari keluar,” katanya kepada AFP.

Jabatan bomba Hualien dan Taitung memaklumkan kepada AFP, tiada laporan awal mengenai kerosakan atau korban jiwa.
Perkhidmatan kereta api di laluan timur masih berjalan seperti biasa selepas gempa yang berlaku sekitar jam 7 malam, menurut USGS.
Seorang anggota bomba Taitung, Andrew Liu berkata, seramai 25 anggota bomba termasuk sukarelawan dan lima kenderaan telah dihantar ke kawasan pesisir yang paling hampir dengan pusat gempa bagi memeriksa sebarang kerosakan.
“Oleh kerana kawasan itu terpencil dan jarak antara lokasi jauh, perkara itu akan mengambil masa lebih lama untuk sampai ke setiap tempat,” katanya kepada AFP.
Taiwan sering dilanda gempa bumi kerana kedudukannya di sempadan dua plat tektonik berhampiran Lingkaran Api Pasifik dan menurut USGS kawasan tersebut merupakan zon seismik paling aktif di dunia.
Sejak itu, Taiwan telah menambah baik kod pembinaannya untuk memasukkan kaedah pembinaan tahan gempa seperti penggunaan besi keluli yang membolehkan bangunan bergoyang dengan lebih fleksibel apabila tanah bergegar.
Terkenal dengan firma teknologi canggih, Taiwan telah membangunkan sistem amaran awal yang maju yang mampu memberi amaran kepada orang ramai mengenai gegaran kuat dalam beberapa saat.
Sistem itu telah ditingkatkan dari semasa ke semasa dengan menggunakan alat baharu seperti telefon pintar dan sambungan data berkelajuan tinggi, termasuk di kawasan terpencil pulau negara tersebut. – AFP