ATHENS, 22 MEI – Gempa bumi 6.1 magnitud telah menggegarkan pulau Crete di Greece hari ini, kata Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS), tanpa sebarang kerosakan besar dilaporkan.
Gempa itu melanda 82 kilometer timur laut ibu kota Crete, Heraklion pada 0319 GMT dengan kedalaman 68 kilometer, kata USGS.
Wartawan AFP berkata ia turut dirasai di Athens dan Mesir.
Televisyen negara itu, ERT, berkata ramai penduduk di wilayah Cretan di Rethymno dan Lasithi dikejutkan oleh gempa itu sejurus selepas 6 pagi dan segera keluar dari rumah mereka sebagai langkah berjaga-jaga.
Media tempatan menunjukkan barangan pasar raya berselerak di atas lantai dan melaporkan terdapatnya gelongsor batu kecil di jalan luar bandar.
“Gegaran itu berlaku pada kedalaman yang hebat dan tiada sebab tertentu untuk penduduk bimbang,” kata Pengarah Besar Penyelidikan di Institut Geodinamik Balai Cerap Kebangsaan Athens, Athanassios Ganas, kepada ERT.
Agensi berita negara itu, ANA, berkata unit bomba di Crete telah dikerahkan ke tempat kejadian dalam keadaan berjaga-jaga, dengan kenderaan berkawal untuk menilai keadaan.
Datuk Bandar Heraklion, Alexis Kalokerinos berkata kepada ERT, tidak ada kejadian membimbangkan berlaku di bandar itu dan penutupan sekolah juga tidak perlu.
Gempa itu berlaku hanya lebih seminggu selepas gegaran bermagnitud 6.1 melanda berhampiran pulau Kasos di timur Crete dan dirasai di kawasan terpencil. – AFP
