SYDNEY, 22 DIS – Satu gempa bumi berukuran 6.1 skala Richter menggegarkan bangunan di pulau utama Vanuatu awal pagi hari ini, namun tiada kerosakan besar dilaporkan.
Insiden itu berlaku hanya beberapa hari selepas gempa bumi dahsyat berukuran 7.3 skala Richter meragut 12 nyawa dan menyebabkan kemusnahan besar di negara kepulauan Pasifik itu.
Kejadian tersebut menyebabkan bangunan konkrit di ibu negara, Port Vila runtuh serta mencetuskan tanah runtuh.
Gempa baharu hari ini, berlaku pada kedalaman 40 kilometer (km) dan kira-kira 30km di barat Port Vila.
Gempa kali ini tidak mencetuskan amaran tsunami meskipun berlaku pada pukul 2:30 pagi.
Rangkaian komunikasi mudah alih yang terjejas sejak gempa Selasa lalu, belum pulih sepenuhnya sekali gus menyukarkan hubungan luar dengan Vanuatu.
Selain itu, bekalan air turut terganggu dan operasi di pelabuhan utama ibu negara masih terhenti.
Kerajaan Vanuatu telah mengisytiharkan darurat selama tujuh hari dan melaksanakan perintah berkurung pada waktu malam susulan gempa bumi pertama. – AFP