MANILA, 24 JUN – Gempa bumi bermagnitud 6.3 melanda kawasan perairan selatan Filipina hari ini, menurut Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS), namun tiada amaran tsunami dikeluarkan.
Gempa bumi cetek itu berlaku kira-kira 374 kilometer ke timur pulau Davao, menurut USGS dan tiada laporan segera mengenai kemalangan jiwa atau kerosakan setakat ini.
Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (Phivolcs), yang melaporkan gempa itu pada 6.4 magnitud, turut memaklumkan tiada amaran tsunami dikeluarkan.
Gempa bumi merupakan kejadian hampir setiap hari di Filipina, yang terletak di atas ‘Lingkaran Api Pasifik’, iaitu satu kawasan berbentuk lengkung yang aktif dengan aktiviti seismik dari Jepun hingga Asia Tenggara dan merentasi lembangan Pasifik.
Kebanyakan gegaran terlalu lemah untuk dirasai manusia, namun gempa bumi yang kuat dan membinasakan berlaku secara rawak dan tiada teknologi yang dapat meramal bila atau di mana ia akan berlaku. – AFP


