Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gempa bumi 6.5 magnitud landa Papua

    JAKARTA, 16 OKT – Gempa bumi berukuran 6.5 magnitud melanda wilayah timur Indonesia, Papua, pada Khamis, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), namun tiada amaran tsunami dikeluarkan dan tiada laporan segera mengenai kerosakan.

    Menurut USGS, pusat gempa yang berlaku sekitar pukul 2:48 petang itu terletak kira-kira 200 kilometer dari bandar Jayapura, pada kedalaman 35 kilometer.

    Namun, Pusat Amaran Tsunami Pasifik di Hawaii menyatakan, tiada ancaman tsunami akibat gempa tersebut.

    Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG) mencatatkan gempa itu dengan kekuatan 6.4 magnitud pada kedalaman 16 kilometer.

    Pengarah gempa bumi dan tsunami agensi berkenaan, Daryono, yang dikenali dengan satu nama, berkata dalam satu kenyataan bahawa setakat ini tiada gegaran susulan direkodkan.

    Indonesia, sebuah negara kepulauan yang luas, sering mengalami gempa bumi kerana kedudukannya di atas ‘Lingkaran Api Pasifik’.

    Lengkungan kawasan dengan aktiviti seismik tinggi itu, di mana plat tektonik bertembung, membentang dari Jepun melalui Asia Tenggara hingga ke lembangan Pasifik.

    Papua, Indonesia terletak di bahagian barat pulau besar di Lautan Pasifik yang dikongsi bersama dengan Papua New Guinea. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda