Sabtu, 22 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gempa bumi Afghanistan: Lebih banyak mayat dikeluarkan

    NURGAL, 4 SEPT – Para sukarelawan dan pasukan penyelamat terus mengeluarkan lebih banyak mayat dari runtuhan bangunan yang musnah di timur Afghanistan hari ini, empat hari selepas gempa bumi yang telah meragut hampir 1,470 nyawa, menurut pihak berkuasa.

    Gempa bumi bermagnitud 6.0 yang melanda kawasan pergunungan berhampiran sempadan Pakistan pada lewat Ahad itu adalah antara yang paling dahsyat di negara tersebut dalam beberapa dekad.

    Setakat ini, seramai 1,469 orang telah terkorban dan lebih 3,700 cedera, namun angka korban dijangka meningkat, kata timbalan jurucakap kerajaan, Hamdullah Fitrat, hari ini.

    “Beberapa mayat tambahan ditemui sepanjang operasi ini, sekali gus meningkatkan jumlah korban,” tulis Fitrat di platform X, sambil menambah bahawa angka rasmi terbaharu akan diumumkan kemudian.

    “Kami tidak berhenti berharap” masih ada mangsa terselamat di bawah runtuhan, katanya kepada AFP.

    Akses yang terhad ke kawasan paling teruk terjejas di wilayah pergunungan Kunar telah melambatkan usaha menyelamat dan bantuan, apabila kejadian runtuhan batu akibat gegaran susulan berulang kali menghalang laluan jalan yang sudah sedia berbahaya di tebing curam.

    Meskipun kebanyakan kawasan terpencil itu berjaya ditembusi menjelang kelmarin, harapan untuk menemui mangsa terselamat semakin tipis.

    “Ramai mangsa dipercayai masih terperangkap di bawah rumah yang runtuh di kampung-kampung pedalaman, dan peluang untuk menemui mereka hidup semakin tertutup,” kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam satu kenyataan pada lewat kelmarin. – AFP

    Penduduk Afghanistan berjalan di sepanjang kawasan bukit selepas gempa bumi di daerah Nurgal, wilayah Kunar pada 3 September. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda