YANGON (MYANMAR), 28 MAC – Gempa bumi kuat berskala 7.7 magnitud menggegarkan kawasan 16 kilometer di utara-barat laut Sagaing, Myanmar, pada 6:20 pagi tadi, lapor agensi berita Xinhua yang memetik Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Pusat gempa bumi itu terletak pada kedudukan 22.01 darjah latitud utara dan 95.92 darjah longitud timur, dengan kedalaman 10 kilometer.
Wartawan Xinhua di Yangon melaporkan gegaran kuat dirasai di ibu negara Nay Pyi Taw serta bandar terbesar Myanmar, Yangon.
Setakat ini, Kerajaan Myanmar belum mengeluarkan maklumat rasmi mengenai magnitud gempa atau tahap kerosakan yang dialami.
Cubaan Xinhua untuk menghubungi pegawai di kawasan pusat gempa tidak berjaya.
Laporan awal menunjukkan beberapa bangunan di Wilayah Mandalay runtuh, manakala beberapa jalan yang menghubungkan Mandalay dan Yangon mengalami kerosakan atau terputus.
Gegaran turut dirasai di luar Myanmar.
Wartawan Xinhua di Vientiane, ibu negara Laos dan Bangkok, ibu negara Thailand, mengesahkan gegaran kuat turut dirasai di kedua-dua lokasi berkenaan.
Di Vientiane, bangunan yang melebihi tiga tingkat dilaporkan bergoyang dengan ketara, menyebabkan kebimbangan dalam kalangan penduduk, terutamanya mereka yang tinggal di apartmen bertingkat tinggi. – Bernama
