Wednesday, February 5, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gempa bumi berukuran 7.3 magnitud gegar Indonesia

    MAUMERE, INDONESIA, 14 DIS – Gempa bumi berukuran 7.3 magnitud menggegarkan bahagian timur Indonesia hari ini, menurut Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS), menyebabkan panik namun tiada kematian atau kerosakan besar dilaporkan.

    Titik gempa berlaku di Lautan Flores, utara wilayah Timur Nusa Tenggara, di mana gempa mengakibatkan ketakutan selepas berlaku pada lewat pagi (0320 GMT).

    “Saya berada di lapangan. Ramai orang berlari dalam keadaan panik. Saya masih merasa takut,” kata Nuraini, penduduk pulau Adonara di Timur Flores.

    Tiada kerosakan atau kematian segera dilaporkan, namun pihak berkuasa Indonesia menyeru untuk berhati-hai dengan lebih belasan gegeran susulan dicatatkan.

    Seorang penduduk dilaporkan cedera di Manggarai, Timur Nusa Tenggara, dan bangunan sekolah mengalami kerosakan di bandar Selayar, menurut jurucakap agensi bencana kebangsaan, Abdul Muhari berkata dalam kenyataan.

    Kesan gempa masih dinilai, tambahnya.

    Kekuatan gegaran mencetuskan panik di kebanyakan tempat, dengan video-video dari beberapa bandar dan perkampungan dikongsikan di media sosial menunjukkan orang ramai berlari di luar, ada yang sambil mendukung anak damit.

    Jalan-jalan dilihat sesak dengan trafik ketika kenderaan cuba meninggalkan kawasan menuju ke tempat selamat.

    USGS melaporkan titik gempa berada di kedalaman 18.5 kilometer, kira-kira 100 kilometer dari utara pulau Flores di bandar Maumere, bandar yang mempunyai 80,000 penduduk, di mana gempa telah menjejaskan inokulasi koronavirus.- AFP

    Para penduduk menunggu jalanan selepas mengosongkan bangunan berikutan kejadian gempa bumi. Gempa bumi berukuran 7.3 magnitud telah menggegarkan bahagian timur Indonesia, kelmarin.- AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda