BOGOTA, 18 OGOS – Gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Richter yang melanda tengah Colombia pada kelmarin, menyebabkan seorang maut dan kerosakan teruk di Meta dan Cundinamarca, lapor Xinhua.
Di Bogota, Datuk Bandar Claudia Lopez berkata bandar itu terhindar daripada kerosakan serius tetapi seorang wanita maut selepas melompat keluar dari tingkap pangsapurinya di tingkat 10 kerana bimbang bangunan itu akan runtuh berikutan kejadian itu.
“Seorang wanita di kejiranan Madelena di Ciudad Bolivar, mungkin kerana panik, melompat dari tingkat 10 lalu meninggal dunia. Ia adalah satu-satunya insiden serius yang kami alami. Tolong, bertenang,” katanya dalam mesej video.
Lopez mengesyorkan penduduk setempat supaya memeriksa kerosakan pada dinding dan bumbung sebelum pulang ke rumah atau tempat kerja mereka dan segera melaporkan sebarang keretakan besar yang disebabkan oleh gempa bumi.
Beberapa kejadian tanah runtuh direkodkan di Cundinamarca dan beberapa kediaman musnah di Meta. – Bernama


