JALALABAD, 1 SEPT – Operasi menyelamat besar-besaran dilancarkan di Afghanistan semalam selepas gempa bumi kuat dan beberapa gegaran susulan meranapkan kediaman di kawasan pergunungan terpencil, mengorbankan lebih 800 orang, menurut pihak berkuasa Taliban.
Gempa itu melanda sejurus sebelum tengah malam, menggoncang bangunan sejauh Kabul hingga ke Islamabad, ibu negara Pakistan yang berjiran.
Lebih 1.2 juta orang dipercayai merasai gegaran kuat atau sangat kuat, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Di wilayah Kunar, timur Afghanistan yang berhampiran pusat gempa, sekitar 800 orang terbunuh dan 2,500 lagi cedera, kata jurucakap utama kerajaan Taliban, Zabihullah Mujahid.
Di wilayah jiran Nangarhar pula, 12 orang terbunuh dan 255 cedera, tambahnya.
“Banyak rumah musnah,” kata jurucakap kementerian dalam negeri, Abdul Mateen Qani, kepada AFP.
Kebanyakan rakyat Afghanistan tinggal di rumah rendah berdinding lumpur yang mudah runtuh. Agensi Migrasi PBB memberi amaran beberapa kampung paling terjejas di Kunar “masih tidak dapat diakses kerana jalan terhalang.”
Pihak berkuasa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggerakkan usaha menyelamat ke kawasan teruk dilanda bencana. Kementerian Pertahanan berkata setakat ini 40 penerbangan operasi telah dijalankan.
Seorang pegawai pertanian di daerah Nurgal, Kunar berkata penduduk bergegas membersihkan jalan yang terhalang menuju ke kampung-kampung terpencil, namun kawasan teruk terjejas sangat jauh dan liputan telekomunikasi amat terhad.
“Terlalu banyak ketakutan dan kegelisahan… Kanak-kanak dan wanita menjerit. Kami tidak pernah mengalami perkara seperti ini sepanjang hidup,” kata Ijaz Ulhaq Yaad kepada AFP.
Beliau berkata ramai penduduk kampung yang dilanda bencana adalah antara lebih empat juta rakyat Afghanistan yang kembali dari Iran dan Pakistan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Mereka mahu membina rumah mereka di sini.”
Gempa itu melanda pada kedalaman cetek sekitar lapan kilometer, kira-kira 27 kilometer dari bandar Jalalabad di wilayah Nangarhar, menurut USGS.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, turut menyampaikan ucapan takziah bersama kerajaan Taliban dan beberapa negara lain.
“Saya berdiri sepenuhnya bersama rakyat Afghanistan selepas gempa bumi dahsyat yang melanda negara itu awal hari ini,” katanya. – AFP


