KATHMANDU, 9 NOV – Enam orang terkorban akibat gempa bumi berukuran 5.6 magnitud yang melanda barat Nepal pada awal pagi ini, mencetuskan gegaran sehingga ke New Delhi, kata pihak berkuasa.
Pusat gempa berlaku dekat perbandaran Nepal, Dipayal, 340 kilometer (km) barat Kathmandu pada kedalaman 15km kira-kira 2 pagi, menurut Jabatan Geologi AS (USGS).
Enam maut di daerah barat Doti, termasuk tiga ahli keluarga yang sama, kata ketua polis tempatan Rajendra Dhamala.
Lima lagi cedera dan sedang menjalani rawatan di hospital tempatan.
Beberapa buah rumah rosak dan pihak berkuasa tempatan berkata mereka masih menilai kerosakan dan kemalangan jiwa.
Gegaran turut dirasai di utara India namun tiada laporan kematian atau kerosakan berlaku di sana.
Penduduk ibu kota India, New Delhi menyiarkan video dalam media sosial termasuk tiang lampu dan pagar bergoyang. Pusat Seismologi Kebangsaan India melaporkan gempa tersebut berukuran 6.3 magnitud.
Nepal Barat turut merasai gegaran itu hari ini sekitar jam 9 malam oleh gempa bumi berukuran 4.8 magnitud pada kedalaman 10km. – AFP