KUPANG, INDONESIA, 31 OGOS – Gempa bumi berukuran 5.4 magnitud telah melanda pulau Timor, timur Indonesia hari ini, kata pemantau Amerika Syarikat (AS), yang menggegarkan kediaman penduduk dan memaksa mereka keluar, tetapi tiada kematian atau kerosakan yang dilaporkan.
Gempa bumi itu berlaku pada kedalaman sekitar 54.6 kilometer di barat laut pulau Timor berhampiran bandar Kupang pada kira-kira 6:30 petang waktu tempatan, menurut Kajian Geologi AS.
Ia dapat dirasai di bandar Kupang di Timor, sebuah pulau yang terbelah antara wilayah Indonesia di barat dan negara berdaulat Timor Leste di timur.
Para penduduk setempat menggambarkan rumah mereka bergegar dan orang ramai berlari keluar untuk menyelamatkan diri. Bagaimanapun tiada sebarang kerosakan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
“Gegaran itu dirasai agak kuat sehingga saya membawa isteri keluar,” kata salah seorang penduduk, Elias Esi, 68.
Seorang wartawan AFP di Kupang berkata gempa itu menyebabkan ‘kerusi dan lampu di dalam rumah bergegar’ yang berlarutan kira-kira satu minit.
Agensi geofizik negara itu pada mulanya merekodkan magnitud yang lebih tinggi iaitu 6.1,
sebelum menyemaknya semula menjadi 5.9.
Indonesia sering mengalami gempa bumi kerana kedudukannya yang strategik di atas Lingkaran Api Pasifik, lingkaran aktiviti seismik yang meluas dari Jepun melalui Asia Tenggara dan merentasi lingkungan Pasifik. – AFP