Gempa bumi goncang Bali

JAKARTA, 11 Okt – Kejadian gempa yang berlaku hari ini menyebabkan tiga orang terkorban di Indonesia dan menggegarkan hotel-hotel di mana delegasi Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menghadiri persidangan besar, beberapa minggu selepas kejadian gempa-tsunami yang meragut 2,073 nyawa di Palu.

Gempa bumi berukuran 6.0 melanda luar pinggir laut Bali, Indonesia dan Pulau Jawa awal hari ini, menyebabkan penduduk setempat menyelamatkan diri ke jalan-jalan raya.

Sebahagian daripada yang hadir untuk mesyuarat tahunan IMF dan Bank Dunia minggu ini dipindahkan dari hotel-hotel mereka tatkala gempa itu menggoncang pulau itu.

“Saya merasakan gempa itu sekurang-kurangnya 30 saat dan saya cemas. Pada awalnya, saya tidak mahu keluar tetapi kemudian saya membuat keputusan untuk meninggalkan tempat,” beritahu Katharina Sudiyono kepada AFP.

Peter Jacobs, Ketua Unit Kerja IMF-Bank Dunia bagi Bank Pusat Indonesia telah memaklumkan dengan segera delegasi di daerah Nusa Dua, Bali mengenai situasi itu.

“Ramai peserta persidangan terus bangun dan bertanya beberapa soalan tetapi kami dengan segera memberi maklumat kepada mereka bahawa telah berlaku gempa bumi dan kesannya di Nusa Dua,” beritahunya kepada AFP.

Tidak ada laporan mengenai kerosakan dan mangsa yang cedera di Bali dan persidangan diteruskan hari ini. – AFP