Wednesday, March 19, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gempa bumi kuat buat penduduk rasa takut, sedih

    Gambar AP

    QUITO, ECUADOR – Ada yang menggelar Machala sebagai Ibu Kota Pisang Dunia. Komuniti pelabuhan di pantai Pasifik Ecuador itu mempunyai kira-kira suku juta orang penduduk dan biasanya sibuk dengan aktiviti komersial. Tetapi bukan hujung minggu ini, bukan selepas gempa yang membawa kemusnahan.

    Kesedihan menyelubungi suasana pada Ahad, sehari selepas gempa kuat menggegarkan bandar itu, meruntuhkan rumah dan bangunan di sepanjang pantai sehingga ke dataran tinggi Ecuador dan sebahagian kawasan di Peru.

    Runtuhan menghalang beberapa jalan di Machala. Penduduk mengadakan majlis pengebumian secara sederhana.

    Sebuah jeti musnah teruk. Sehari selepas gempa yang mengorbankan sembilan orang di sepanjang pantai, ramai penduduk Machala merasa sedih dan tidak tenteram.

    “Bandar ini sunyi, ketakutan dan kesedihan dirasai,” kata penduduk, Luis Becerra. “Awda merasakan kesakitan, drama, ke mana sahaja awda pergi. Semua orang berwaspada, dengan ketakutan yang teramat sekiranya berlaku gegaran susulan besar.

    Seorang lelaki mengambil gambar bangunan yang runtuh selepas gempa bumi menggegarkan Machala, Ecuador.
    Penduduk melihat bangunan yang runtuh selepas gempa bumi menggegarkan Machala, Ecuador.
    Sebuah rumah yang runtuh di atas air selepas gempa bumi dilihat di Puerto Bolivar, Ecuador.
    Muzium Marin Puerto Bolivar, terpisah daripada dok, sebahagiannya ditenggelami air selepas gempa bumi yang menggegarkan Machala, Ecuador.

    Gempa bumi dengan kekuatan 6.8 magnitud yang dilaporkan oleh Jabatan Geologi Amerika Syarikat (AS), membunuh sekurang-kurangnya 15 orang dan mencederakan lebih 445 yang lain. Sekurang-kurang nya 14 meninggal dunia di Ecuador, dan satu di Peru.

    Gempa itu merosakkan dan meruntuhkan beratus-ratus rumah dan bangunan dalam komuniti yang jauh berbeza, baik di kawasan pantai dan tanah tinggi. Tetapi di Ecuador, tanpa mengira geografi, banyak rumah yang runtuh mempunyai banyak persamaan: banyak rumah usang, tidak memenuhi piawaian bangunan moden negara yang mudah dilanda gempa dan sebahagian besar penduduknya miskin.

    Yajaira Albarracin, Graciela Chila, Silvina Zambrano Chila dan dua kanak-kanak maut di bawah runtuhan rumah mereka di kawasan kejiranan Machala yang berpendapatan rendah.

    Pada Ahad, beberapa orang jiran singgah di sebuah khemah di mana keranda wanita itu diletakkan dengan gubahan bunga. Beberapa saudara mara berkata, penyelamat menemui mayat wanita dan kanak-kanak itu seolah-olah mereka berpegangan tangan ketika bencana melanda.

    Gempa bumi itu berpusat tidak jauh dari Pantai Pasifik, kira-kira 50 batu (80 kilometer) di selatan Guayaquil, bandar kedua terbesar di Ecuador. Daripada 14 mangsa di negara itu, 12 maut di negeri pantai barat daya El Oro, termasuk Machala, dan dua di negeri dataran tinggi Azuay.

    Ecuador sangat terdedah kepada gempa bumi. Pada 2016, gempa bumi berpusat lebih jauh ke utara di Pantai Pasifik membunuh lebih 600 orang.

    Penduduk Machala, Hamilton Cedillo berkata pada Ahad bahawa dia dan keluarganya hampir tidak tidur selepas kejadian itu kerana takut akan gegaran susulan yang boleh membawa maut.

    Mereka telah membuat rancangan pemindahan dan menonton video tentang cara melindungi diri sekiranya gempa bumi berlaku lagi.

    “Saya takut untuk pergi dan keluarga saya akan ditinggalkan di sini bersendirian di rumah,” kata Cedillo.

    Pope Francis meluahkan rasa simpati ke atas mangsa semasa perhimpunan mingguan.

    “Saya rapat dengan rakyat Ecuador dan saya meluahkan rasa simpati ke atas mangsa yang terkorban dan penderitaan mangsa yang terselamat,” katanya.

    Kerajaan Ecuador mengeluarkan pengisytiharan tergempar yang meliputi jalan raya di Azuay, di mana puing akibat gempa merosakkan beberapa jalan dan memburukkan lagi keadaan yang sudah buruk disebabkan ribut hujan musim sejuk.

    Salah seorang mangsa adalah penumpang dalam kenderaan yang dihempap runtuhan dari sebuah rumah dalam komuniti Cuenca.

    Di El Oro, menurut Sekretariat Pengurusan Risiko, agensi tindak balas kecemasan Ecuador, beberapa orang terperangkap di bawah runtuhan atau di dalam bangunan yang rosak.

    Arkitek yang berpangkalan di Quito, German Narvaez berkata rumah yang paling teruk terjejas cenderung dibina dengan buruk, tidak mempunyai asas yang kukuh, dan kekurangan struktur dan reka bentuk teknikal. Beliau menambah bahawa rumah yang paling terdedah selalunya usang dan dibina dengan bahan seperti bata jemur, yang sebelum ini selalu digunakan di rantau ini.

    “Pada saat-saat genting pergerakan seismik, rumah-rumah cenderung untuk runtuh,” katanya.

    Juan Vera kehilangan tiga saudara-mara apabila gempa bumi meruntuhkan rumah anak saudaranya. Kerajaan telah menawarkan untuk membayar pengebumian wanita itu dan anak damitnya serta pasangannya.

    Kini, Vera tertanya-tanya mengapa pihak berkuasa tempatan membenarkan saudara-maranya tinggal di sana pada mulanya, berkata majlis perbandaran harus mengawal keadaan bangunan dengan lebih baik dan memastikan hanya yang benar-benar selamat disewakan atau diduduki. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda