BEIJING, 24 DIS – Gempa bumi kuat yang melanda barat laut China minggu ini, mengorbankan sekurang-kurangnya 148 orang, menyebabkan kerugian ekonomi dianggarkan bernilai puluhan juta dalam industri pertanian dan perikanan, kata media kerajaan, kelmarin.
Pegawai di Gansu menjalankan penilaian awal yang menunjukkan industri pertanian dan perikanan wilayah itu telah kerugian 532 juta yuan (kira-kira AS$74.6 juta), lapor penyiar negeri CCTV.
Pihak berkuasa sedang mempertimbangkan penggunaan terbaik dana bantuan, yang disediakan beberapa hari sebelumnya, untuk sektor pertanian menyambung semula pengeluaran secepat mungkin, kata laporan itu.
Gempa bumi berukuran 6.2 pada skala Richter itu melanda kawasan pergunungan Isnin malam antara wilayah Gansu dan Qinghai dan kira-kira 1,300 kilometer (800 batu) di barat daya Beijing, ibu negara China. CCTV berkata 117 orang terbunuh di Gansu dan 31 yang lain maut di jiran Qinghai, manakala tiga orang masih hilang. Hampir 1,000 cedera dan lebih 14,000 rumah musnah.
Semasa lawatan kelmarin ke beberapa kampung di Gansu dan sebuah daerah di Qinghai, Perdana Menteri China, Li Qiang menggesa pihak berkuasa untuk memperbaiki keadaan hidup bagi mangsa gempa bumi dengan setiap kaedah yang ada, lapor Agensi Berita Xinhua rasmi.
Li berkata keutamaan utama usaha bantuan adalah memastikan orang ramai kekal hangat dan selamat pada musim sejuk, tambah laporan itu.
CGTN, cabang antarabangsa penyiar negeri China, berkata kumpulan pertama 500 unit rumah sementara telah dibina untuk penduduk di Meipo, sebuah kampung di Gansu, pada malam Jumaat.
Ramai telah bermalam di tempat perlindungan yang disediakan di kawasan itu ketika suhu menjunam jauh di bawah paras beku. Pengebumian telah diadakan, sebahagiannya mengikut tradisi Muslim kebanyakan penduduk di kawasan yang terjejas.
Kebanyakan gempa bumi China berlaku di bahagian barat negara itu, termasuk wilayah Gansu, Qinghai, Sichuan dan Yunnan, serta wilayah Xinjiang dan Tibet. Gempa terbaharu itu adalah yang paling dahsyat di negara itu dalam tempoh sembilan tahun. – AP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/12/AP23357431748355-scaled.jpg)