MOSCOW, 19 SEPT – Gempa bumi kuat berskala 7.8 telah melanda luar pesisir semenanjung Kamchatka, Timur Rusia hari ini, sehingga menggegar bangunan dan mendorong pihak berkuasa mengeluarkan amaran tsunami, yang kemudian ditarik balik.
Sebuah video yang dimuat naik di media sosial Rusia menunjukkan perabot dan lampu bergegar di dalam rumah, manakala video lain memaparkan sebuah kereta yang berada di jalan turut bergoncang.
Gempa itu berlaku 128 kilometer di Petropavlovsk-Kamchatsky iaitu kawasan timur bandar wilayah itu dan pada kedalaman 10 kilometer, menurut laporan Suruhanjaya Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Namun, cawangan tempatan perkhidmatan geofizik negara Rusia memberi anggaran magnitud lebih rendah iaitu dalam skala 7.4 dan melaporkan kira-kira lima gegaran susulan.
Pusat Amaran Tsunami Pasifik Amerika Syarikat mengeluarkan amaran mengenai kemungkinan gelombang berbahaya di sepanjang pantai berhampiran, tetapi beberapa jam kemudian menyatakan ancaman itu telah berakhir.
“Setakat ini tiada laporan kerosakan. Saya meminta semua kekal tenang,” kata gabenor wilayah itu, Vladimir Solodov, melalui Telegram.
Semenanjung Kamchatka terletak di atas jalur tektonik yang dikenali sebagai Lingkaran Api, yang mengelilingi sebahagian besar Lautan Pasifik, dan merupakan kawasan panas untuk aktiviti seismik.
Pada Julai lalu, gempa mega berskala 8.8 di luar pesisir wilayah itu mencetuskan tsunami yang menenggelamkan sebahagian kampung pesisir ke laut dan menimbulkan amaran di seluruh Pasifik. – AFP


