JAKARTA, Indonesia, 12 Jun – Satu kejadian gempa bumi kuat melanda sebahagian pulau utama Jawa Indonesia awal pagi ini dan menggoncangkan bangunan-bangunan di ibu negaranya, namun tidak menyebabkan kerosakan atau korban jiwa.
Kejadian gempa bumi sering berlaku di Nusantara luas itu, namun ia amat jarang gegaran dirasai di Jakarta. Para penduduk di bandar itu merasai beberapa saat goncangan. Bahkan rumah dua tingkat bergegar dengan kuat di bandar-bandar satelit di Bekasi dan Depok.
“Saya dikejutkan oleh gegaran dan terperanjat melihat lampu dan perabot-perabot di bilik saya berayun,” kata Risma Defriana, seorang penduduk Jakarta yang tinggal di tingkat 17 di sebuah bangunan pangsapuri.
Tiada kerosakan mahupun korban jiwa dilaporkan di Sukabumi, bandar terdekat dengan pusat gegaran, kata Sutopo Purwo Nugroho, jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Indonesia.
Jabatan Geologi AS berkata gegaran berukuran 5.6 magnitud berpusat di Lautan Hindi, kira-kira 97 kilometer barat daya selatan bandar Jawa Barat Cibungur dengan kedalaman 10 kilometer.
Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia berkata gempa itu berukuran 6.3 magnitud lebih kuat namun tiada potensi untuk menyebabkan tsunami.
Indonesia, nusantara terbesar dunia, terdedah dengan pergolakan seismik dan tsunami disebabkan lokasinya pada lipatan geologi utama dikenali “Lingkaran Api” Pasifik.
Dalam tahun 2004, satu gempa bumi kuat di Lautan Hindi menyebabkan kejadian tsunami yang membunuh lebih daripada 230,000 orang di beberapa buah negara, kebanyakannya di wilayah Aceh Indonesia. – AP