Friday, March 14, 2025
32.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gempa bumi landa bandar Naples, Itali

    ROM, 13 MAC – Gempa bumi bermagnitud 4.4 menggegarkan kawasan sekitar Naples pada awal pagi tadi, mengakibatkan seorang cedera ringan serta beberapa kerosakan bangunan, selain mencetuskan panik dalam kalangan penduduk, menurut pegawai Itali, hari ini.

    Gempa utama direkodkan pada jam 1:25 pagi pada kedalaman 2.5 kilometer, menurut Institut Geofizik dan Vulkanologi Kebangsaan Itali (INGV). Ia kemudian diikuti oleh beberapa gegaran susulan dalam satu siri yang dikenali sebagai ‘kumpulan seismik’.

    Gambar dan video yang disiarkan di media sosial menunjukkan kenderaan ditimbus batu dan runtuhan, retakan pada rumah serta penduduk yang panik bergegas keluar ke jalan raya pada waktu malam.

    Agensi perlindungan awam Itali melaporkan seorang cedera akibat runtuhan siling palsu, manakala beberapa kerosakan kecil turut dicatatkan.

    Jabatan bomba mengesahkan kecederaan tersebut tidak serius dan kini sedang menjalankan pemeriksaan di kawasan Bacoli, Bagnoli dan Pozzuoli.

    Di Bagnoli, sebuah daerah tepi pantai di bahagian barat Naples, pihak berkuasa bandar mengarahkan penutupan sekolah hari ini dan menyediakan kawasan menunggu bagi penduduk yang takut untuk kembali ke kediaman mereka.

    Perdana Menteri Giorgia Meloni berkata beliau sentiasa memantau perkembangan situasi dan berhubung dengan pegawai berkaitan.

    Aktiviti seismik bukanlah sesuatu yang baharu di kawasan Campi Flegrei, iaitu kaldera aktif terbesar di Eropah, lubang yang terbentuk akibat letusan gunung berapi.

    Namun, ramai daripada 500,000 penduduk yang tinggal di zon bahaya itu sudah pun berada dalam keadaan cemas susulan gempa bermagnitud 4.4 pada Mei 2024, yang merupakan gegaran terbesar dalam tempoh 40 tahun. Tiada kecederaan atau kerosakan struktur besar dilaporkan. – AFP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda