Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gempa bumi landa Mindanao Filipina

    MANILA, 4 OGOS – Gempa bumi berukuran 6.8 magnitud melanda pantai selatan Filipina kelmarin, kata Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS), tetapi tiada amaran tsunami dikeluarkan dan tiada laporan kerosakan segera dilaporkan.

    Gempa cetek melanda sejurus sebelum 6:30 pagi kira-kira 20 kilometer dari kampung Barcelona di timur pulau Mindanao, kata USGS.
    Ramai orang sedang tidur apabila gegaran kuat mengejutkan mereka dari tidur.

    Agensi seismologi tempatan berkata tiada kerosakan dijangka daripada gempa bumi itu.

    Di perbandaran Lingig, di mana Barcelona terletak, pegawai bencana tempatan, Ian Onsing berkata dia dikejutkan oleh gegaran itu.

    “Gegarannya agak kuat. Benda-benda di sekitar sini bergerak. Saya rasa, gegaran itu mengambil masa sekitar 10 hingga 15 saat,” katanya kepada AFP melalui telefon.

    “Setakat ini, tiada kemalangan jiwa atau kerosakan dilaporkan. Kami kini memantau pantai untuk sebarang pergerakan kasar.”

    Di perbandaran Hinatuan, kira-kira 25 kilometer ke utara Barcelona, pegawai bencana tempatan, Jerome Ramirez melihat peralatan bergerak selama kira-kira 30 saat dari gegaran kuat.

    Beliau juga berkata tidak ada laporan kecederaan atau kerosakan dalam komuniti pantai di kawasan itu.

    “Sekarang kami hanya memantau kemungkinan gempa susulan,” kata Ramirez kepada AFP melalui telefon.

    Satu siri gegaran susulan dirasai di beberapa kawasan di Mindanao, dengan yang paling kuat berukuran 6.3 magnitud kira-kira 36 kilometer ke timur Barcelona, menurut USGS.

    “Gempa susulan berlaku di sini setiap dua minit, tetapi kami gembira ia tidak sekuat gempa bumi pagi ini,” kata Onsing. – AFP

    Gambar hiasan. – Canva
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda