Gempa bumi landa PNG, amaran tsunami dibatalkan

SYDNEY, 11 Okt – Gempa bumi kuat berukuran 7.0 magnitud melanda Pulau New Britain, Papua New Guinea (PNG) hari ini sekali gus mencetuskan amaran tsunami sebelum pihak berkuasa menarik balik.

Jabatan Geologi Amerika Syarikat berkata gempa itu melanda kira-kira 125km timur Kimbe dengan kedalaman kira-kira 40km.

Beberapa gegaran susulan turut berlaku berukuran 6.2 magnitud sebelum dan selepas gempa utama yang berlaku pada jam 6:48 pagi waktu setempat.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik memberi amaran awal mengenai ombak tsunami yang berkemungkinan berlaku di kawasan pinggir laut, 300km dari pusat gempa.

Kemudian ramalan itu dikaji semula, “Berdasarkan data-data yang diperolehi, ancaman tsunami daripada gempa itu sudah berlalu.”

Sementara itu, jurucakap Pejabat Pengurusan Bencana Kebangsaan Papua New Guinea di Pelabuhan Moresby berkata tidak ada laporan kerosakan akibat gempa tetapi lazimnya ia memakan masa beberapa jam untuk sampai ke bandar selepas gempa utama.

Chris McKee, pembantu pengarah Balai Cerap Geofizik Papua New Guinea di Perlabuhan Moresby, berkata gempa itu berkemungkinan kurang kuat berbanding laporan awal.

“Kami percaya ukuran magnitud adalah enam, bukan 7.3 seperti beberapa laporan dan kedalamannya adalah 50-70km,” beritahunya kepada AFP.

“Antara parameter dan kedalaman itu, kami tidak menjangkakan akan menyebabkan tsunami.”

McKee berkata usaha menghubungi agensi-agensi setempat di New Britain telah dilakukan bagi mengetahui sama ada gempa itu telah menyebabkan kerosakan.

Laman sesawang USGS berkata gempa itu tidak menyebabkan kerosakan yang besar.

Papua New Guinea terletak di atas Pacific Ring of Fire, kawasan khas untuk aktiviti seismos diakibatkan oleh pergerakan antara plat tektonik. – AFP