MOSCOW, 20 JULAI – Satu siri gempa bumi kuat melanda pantai timur jauh Rusia hari ini, mengakibatkan amaran tsunami, kata Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Terdahulu, gempa bumi berukuran 5.0 magnitud dan 6.7 magnitud pada mulanya tidak mengakibatkan amaran tsunami, tetapi diikuti dengan gempa 7.4 magnitud pada 0849 GMT, mendorong USGS memberi amaran bahawa gelombang tsunami berbahaya mungkin berlaku.
Ia berkata zon amaran tsunami dimaklumkan untuk kawasan pantai dalam radius 300 kilometer (km) dari pusat gempa di Lautan Pasifik, di luar bandar Petropavlovsk-Kamchatsky.
Negeri Alaska terletak di seberang Laut Bering dari bandar, akan tetapi tiada wilayah Amerika Syarikat yang berada dalam zon amaran tersebut.
Gempa bumi awal itu diikuti beberapa gegaran susulan, termasuk satu lagi gempa bumi berukuran 6.7 magnitud, kata USGS.
Pusat gempa berada sekitar 140km ke timur Petropavlovsk-Kamchatsky, ibu kota wilayah Kamchatka.
Semenanjung Kamchatka adalah tempat pertemuan plat tektonik Pasifik dan Amerika Utara, menjadikannya zon panas seismik.
Sejak 1900, tujuh gempa bumi besar berukuran 8.3 magnitud atau lebih tinggi telah melanda kawasan itu. – AFP
