BEIJING, 26 JAN – Hampir 300 penyelamat sedang mencari mangsa di lokasi gempa bumi berukuran 5.6 pada skala Richter di barat daya Wilayah Sichuan, China, manakala hampir 1,500 penyelamat lagi bersiap sedia, kata Kementerian Pengurusan Kecemasan kelmarin.
Tiada laporan kemalangan jiwa atau bangunan yang musnah diterima setakat 10 pagi, kata kementerian itu.
Gempa itu berlaku pada 3:49 pagi, dengan pusat gempa di Daerah Luding di Wilayah Autonomi Tibet Garze, kata Pusat Rangkaian Gempa Bumi China. Gegaran itu dikesan dari kedalaman 11 km, katanya.
Ahli seismologi percaya bahawa gegaran itu adalah gegaran susulan daripada gempa bumi berukuran 6.8 magnitud yang menggegarkan Daerah Luding pada September lalu, mengorbankan lebih 90 orang. – Xinhua