DHAKA, 21 NOV — Gempa bumi dengan magnitud awal 5.5 menggegarkan kawasan tengah Bangladesh hari ini, meragut sekurang-kurangnya enam nyawa dan ratusan lagi cedera, menurut pihak berkuasa serta laporan media tempatan. Bangunan di ibu negara, Dhaka, turut bergoyang sehingga mencetuskan panik dan memaksa orang ramai melarikan diri ke jalan raya.
Gempa berlaku pada 10:38 pagidengan pusat gempa di kawasan Ghorashal di daerah Narsingdi, kira-kira 25 kilometer dari Dhaka. Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan kedalaman awal gegaran itu adalah 10 kilometer.
Televisyen DBC yang berpusat di Dhaka melaporkan sekurang-kurangnya enam individu, termasuk dua kanak-kanak, maut di ibu negara dan beberapa kawasan lain — tiga daripadanya terbunuh selepas bumbung dan dinding bangunan runtuh, manakala tiga pejalan kaki maut apabila pagar bangunan menghempap mereka di Dhaka.
Tiga individu yang keluar membeli daging di sebuah kedai di Armanitola, kawasan bandar lama Dhaka, cedera selepas pagar dan serpihan konkrit bangunan jatuh menghempap mereka. Mereka disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke hospital, lapor akhbar Prothom Alo.
Penduduk tempatan, Mohammed Arif, berada berdekatan kawasan kejadian. “Saya sedang duduk. Ketika gempa berlaku, saya keluar dan kemudian terdengar bunyi kuat. Saya lihat beberapa batu bata jatuh dan juga nampak ada orang yang cedera,” katanya.
Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Pertahanan Awam memaklumkan anggotanya dihantar ke lokasi yang melaporkan bangunan senget akibat gegaran. Pasukan bomba turut dikerahkan untuk memadam kebakaran di sebuah bangunan di kawasan Baridhara, Dhaka. – AP


