MANILA, 16 APRIL – Gempa bumi bermagnitud 5.6 melanda perairan selatan Filipina hari ini, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), tanpa laporan segera mengenai kerosakan atau korban jiwa.
USGS memaklumkan bahawa gempa tersebut berlaku di luar pesisir pulau Mindanao pada kedalaman 30 kilometer.
Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina pula melaporkan pusat gempa terletak kira-kira 43 kilometer ke barat daya bandar Maitum, sebuah kawasan pergunungan yang jarang didiami.
Pihak berkuasa tempatan memberitahu AFP bahawa setakat ini tiada kerosakan ketara dilaporkan akibat gempa tersebut.
“Ia agak kuat tetapi tidak lama. Kami telah membuat pemeriksaan dan tiada laporan kerosakan atau korban,” kata pegawai bomba Maitum, Gilbert Rolifor.
Gempa bumi merupakan kejadian harian di Filipina, sebuah negara yang terletak di sepanjang Lingkaran Api Pasifik, iaitu kawasan lengkok yang aktif dengan gempa dan gunung berapi, bermula dari Jepun merentasi Asia Tenggara hingga ke lembah Pasifik.
Kebanyakan gempa yang berlaku terlalu lemah untuk dirasai oleh manusia, namun gempa kuat dan merosakkan boleh berlaku secara rawak tanpa sebarang teknologi yang mampu meramalkan masa dan lokasi kejadian. – AFP
