Monday, April 14, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gempa bumi magnitud 5 gegar timur laut Taiwan

    TAIPEI, 9 APRIL – Gempa bumi pada magnitud 5 melanda timur laut Taiwan hari ini, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), menyebabkan bangunan bergoyang di ibu negara, Taipei.

    USGS melaporkan bahawa gempa itu berlaku pada kedalaman hampir 70 kilometer di Daerah Yilan, berhampiran Taipei.

    Pihak bomba Yilan memaklumkan kepada AFP bahawa tiada laporan kerosakan atau kecederaan diterima setakat ini.

    “Saya merasai bangunan bergoyang seketika ketika gempa berlaku,” kata seorang pegawai di Biro Bomba Yilan.

    Agensi Bomba Kebangsaan turut menyatakan bahawa tiada laporan kerosakan di mana-mana kawasan di pulau tersebut.

    Sebuah bangunan yang terkesan dari gempa bumi bermagnitud 5.0 di timur laut Taiwan. – The Guardian

    Perkhidmatan kereta api, termasuk kereta api laju, tidak terjejas akibat gempa itu, walaupun sistem metro bawah tanah Taipei telah mengurangkan kelajuan kereta api buat sementara waktu.

    Taiwan sering dilanda gempa bumi kerana kedudukannya di sempadan dua plat tektonik berhampiran Lingkaran Api Pasifik, yang menurut USGS adalah zon seismik paling aktif di dunia.

    Gempa besar terakhir berlaku pada April 2024 apabila pulau itu dilanda gegaran kuat bermagnitud 7.4, yang menurut pegawai merupakan yang paling kuat dalam tempoh 25 tahun.

    Sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh dalam kejadian tersebut, yang mencetuskan tanah runtuh dan merosakkan bangunan di sekitar Hualien dengan teruk.

    Ia merupakan gempa paling serius di Taiwan sejak gegaran bermagnitud 7.6 pada tahun 1999.

    Lebih 2,400 orang terkorban dalam tragedi itu, menjadikannya bencana alam paling dahsyat dalam sejarah Taiwan.

    Sejak itu, Taiwan telah mengemaskini dan memperkukuh kod bangunannya dengan kaedah pembinaan tahan gempa, termasuk penggunaan batang besi keluli yang membolehkan bangunan bergoyang dengan lebih fleksibel apabila berlaku gegaran.

    Terkenal dengan firma teknologi canggihnya, Taiwan turut membangunkan sistem amaran awal teknologi tinggi yang boleh memberi amaran kepada orang ramai mengenai gegaran serius dalam beberapa saat.

    Sistem itu telah dipertingkatkan dari semasa ke semasa dengan penggunaan alat moden seperti telefon pintar dan sambungan data berkelajuan tinggi, termasuk di kawasan paling terpencil di pulau tersebut. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda