Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gempa bumi magnitud 6.1 landa barat Turkiye

    ANKARA, 28 OKT – Gempa bumi bermagnitud 6.1 menggegar bandar Sindirgi di barat Turkiye lewat kelmarin, menjadikannya kejadian kedua dalam tempoh kurang tiga bulan yang melanda kawasan itu, menurut pihak berkuasa.
     
    Gempa tersebut berlaku pada jam 10:48 malam waktu tempatan dan turut dirasai di Istanbul, ibu kota ekonomi negara itu, selain di Izmir, destinasi pelancongan popular, menurut Agensi Pengurusan Kecemasan (AFAD) Turkiye.
     
    Tiada laporan segera mengenai mangsa terkorban.
     
    “Tiga bangunan dan sebuah kedai yang telah dikosongkan selepas gempa terdahulu runtuh, namun tiada korban jiwa dilaporkan,” kata Menteri Dalam Negeri, Ali Yerlikaya.
     
    Pada 10 Ogos lalu, gempa bumi dengan magnitud sama telah mengorbankan seorang penduduk dan mencederakan puluhan yang lain di Sindirgi, sebuah bandar yang terletak di kawasan bukit kira-kira 138 kilometer dari timur laut Izmir.
     
    Turkiye terletak di atas beberapa garisan sesar geologi yang sering menjadi punca bencana besar di negara itu.
     
    Pada Februari 2023, gempa bumi di wilayah barat daya telah meragut sekurang-kurangnya 53,000 nyawa dan memusnahkan Antakya, lokasi kota purba Antioch.
     
    Pada awal Julai tahun ini, satu lagi gegaran bermagnitud 5.8 di kawasan yang sama turut mengorbankan seorang dan mencederakan 69 orang. – AFP
     
    Pemandangan bangunan yang runtuh selepas gempa bumi dengan magnitud 6.1 melanda daerah Sindirgi di Balikesir, Turkiye, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda