JAKARTA, 26 FEB – Gempa bumi cetek berukuran magnitud 6.1 melanda berhampiran pulau Sulawesi Indonesia hari ini, kata Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS), memaksa penduduk melarikan diri dari kawasan tersebut, tetapi tiada sebarang kerosakan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Gegaran melanda pada 6:55 pagi waktu tempatan pada kedalaman 10 kilometer dengan pusat gempa di luar pantai berhampiran wilayah Sulawesi Utara, menurut USGS.
Agensi meteorologi negara itu memberikan magnitud yang lebih rendah iaitu 6.0 dan berkata tiada potensi berlakunya tsunami.
Penduduk tempatan di Sulawesi Utara menggambarkan keadaan panik apabila gempa itu berlaku.
“Saya baharu sahaja terjaga apabila menyedari ia adalah gempa bumi. Ia bergoncang dengan kuat,” kata pelancong berusia 25 tahun di sebuah hotel di daerah Minahasa Utara di wilayah itu, Gita Waloni, kepada AFP.
Negara kepulauan yang luas itu sering dilanda gempa bumi kerana kedudukannya pada lingkaran api Pasifik, lengkok aktiviti seismik yang sengit di mana plat tektonik berlanggar yang terbentang dari Jepun melalui Asia Tenggara dan merentasi lembangan Pasifik.
Gempa bumi berukuran magnitud 6.2 yang menggegarkan Sulawesi pada Januari 2021 membunuh lebih 100 orang dan menyebabkan ribuan kehilangan tempat tinggal.
Pada 2018, gempa bumi berukuran magnitud 7.5 dan tsunami berikutnya di Palu di Sulawesi telah membunuh lebih 2,200 orang.
Kemudian pada tahun 2004, gempa bumi bermagnitud 9.1 melanda wilayah Aceh, menyebabkan tsunami dan membunuh lebih 170,000 orang di Indonesia. – AFP
